GARA-GARA ingin membawa diri selepas merajuk dengan teman lelakinya, seorang wanita mengambil tindakan di luar jangkaan dengan memanjat sebuah pencawang elektrik.
Kejadian yang berlaku di Chhattisgarh, India sempat dirakam orang awam, sebelum ia menjadi tular di media sosial.
Enggan berdiam diri, teman lelaki wanita berkenaan dilihat turut naik ke atas pencawang tersebut untuk memujuk kekasih hatinya, dan difahamkan 'drama' itu mengambil masa hampir 30 minit.
Kedua-dua pasangan merpati dua sejoli itu masih dipanjangkan umur apabila mereka dilaporkan berjaya turun dengan selamat.
Sementara itu, seorang pengusaha industri, Harsh Goenka yang berkongsi video itu di laman Twitternya berkata, seumur hidupnya, itu adalah kali pertama dia melihat kejadian cubaan bunuh diri pasangan kekasih di atas pencawang elektrik.
Insiden itu juga mendapat perhatian warganet apabila rata-rata dilihat memberikan komen yang lucu terhadap video berkenaan.
"Drama voltan tinggi," tulis seorang pengguna Twitter.
Bagaimanapun, kejadian sebegitu dikatakan bukanlah kali pertama berlaku di negara tersebut.
Sejak adegan ikonik filem 'Sholay' yang mana Veeru Dharmendra memanjat ke atas tangki air dan mengancam untuk menamatkan hidupnya jika dia tidak dapat berkahwin dengan Basanti (Hema Malini), ramai pasangan kekasih cuba meniru aksi tersebut dalam kehidupan sebenar.
Buktinya, pada 2021, seorang lelaki berusia 25 tahun memanjat sebuah menara di Burdwan dan mengugut untuk membunuh diri jika keluarga wanita yang dicintainya menolak pinangannya.
Tahun lalu pula, seorang gadis dari Uttar Pradesh, India dilaporkan memanjat tangki air selepas teman lelakinya enggan mengahwininya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram