Makin kronik, dera kanak-kanak berisiko jadi penyakit sosial, dianggap normal


  • Massa
  • Ahad, 27 Ogos 2023

Isu penderaan kanak-kanak berisiko menjadi antara penyakit sosial yang kronik dalam negara. — Gambar hiasan

ISU penderaan kanak-kanak bukanlah perkara baharu, namun ia masih berterusan sekali gus berisiko untuk menjadi antara penyakit sosial yang kronik dalam negara.

Berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 5,572 kes melibatkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak pada tahun lalu telah direkodkan.

Dalam tempoh dua bulan ini sahaja, rakyat Malaysia digemparkan dengan pembongkaran beberapa kes penderaan kanak-kanak.

Lebih menyedihkan, perbuatan terkutuk itu bukanlah dilakukan oleh individu lain, sebaliknya ibu bapa kandung sendiri yang tergamak melakukan perkara tersebut.

Mengimbas kembali kejadian penderaan kanak-kanak oleh ibu atau bapa sendiri, berikut Majoriti senaraikan empat kes yang pernah dilaporkan di Malaysia dalam tempoh Julai hingga Ogos tahun ini:

1. Kajang, Selangor

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan teman lelakinya dalam kejadian pada 22 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Serdang, Kajang, Selangor pada 12.50 tengah malam selepas dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Kedua-dua suspek juga telah membuat laporan polis palsu yang menyatakan budak itu telah dilanggar dengan lori.

Bagaimanapun, siasatan mendapati kejadian yang dilaporkan itu tidak berlaku dan kedua-dua suspek telah mengaku mendera mangsa sehingga mati, malah lori yang disebut itu juga didapati telah dicuri di Kajang, Selangor.

Dalam pada itu, pemeriksaan lanjut pihak hospital pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki mangsa didera dan dipukul di sebuah pangsapuri di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan sebelum dihantar ke hospital.

Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis metamfetamina dan amfetamina dan telah direman tujuh hari sehingga 29 Ogos ini bagi membantu siasatan.

2. Taiping, Perak

Seorang kanak-kanak ditemukan meninggal dunia dengan kesan lebam pada seluruh badan dipercayai akibat didera di sebuah rumah di Taman Panglima, Assam Kumbang, Taiping, Perak, pada 30 Julai lalu.

Polis kemudian menahan ibu kandung mangsa bersama teman lelakinya di lokasi kejadian pada hari yang sama.

Seorang ibu dan kekasihnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Taiping, Perak atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki yang juga anak wanita terbabit dengan cara mendera hingga menyebabkan kematiannya, pada hujung Julai lalu.

Kejadian dera terhadap anak kedua daripada lima beradik itu dipercayai berlaku sejak Mac lalu.

Tertuduh, Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin, 36, dan Izuhaizad Ismail, 37, kelihatan tenang dan memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur 'Atiqah Sapari.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Muhammad Hasiffaidhi Mohamad Jeffry, 9, di Taman Panglima, Assam Kumbang, Taiping, Perak antara 10.30 pagi 29 Julai lalu hingga 10.52 pagi 30 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dihukum mati.

3. Johor Bahru, Johor

DERA1

Perbuatan ibu mangsa (kanan) dan rakannya yang mendera kanak-kanak tersebut berjaya dibongkar jiran-jirannya.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun menjadi mangsa dera kepada ibu kandung mangsa yang juga ibu tunggal berusia 27 tahun dan rakannya yang berperwatakan seperti lelaki.

Kejadian menimpa kanak-kanak malang itu akhirnya terbongkar selepas jiran di kawasan perumahan dipercayai di sekitar Bandar Layangkasa dekat Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor menyerbu rumah diduduki dua beranak itu pada 16 Ogos lalu.

Satu video turut tular memaparkan kecederaan agak teruk pada belakang badan kanak-kanak itu.

Ibu mangsa merupakan suri rumah, manakala rakannya, seorang warga asing berusia 30 tahun pula merupakan juruteknik di sebuah kilang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka antara 1 Julai hingga 9 Ogos lepas.

Pendedahan itu turut mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam yang menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak termasuk polis, exco, kakitangan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang mengambil tindakan pantas, serta kesemua jiran kanak-kanak berkenaan yang prihatin dan sudi berusaha melindungi kanak-kanak tersebut.

Kanak-kanak itu juga dilaporkan telah diserahkan kepada ibu saudaranya untuk jagaan sejak awal Ogos.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penyerahan itu dilakukan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat penilaian terhadap waris yang layak dan sesuai untuk mengambil tanggungjawab menjaga kanak-kanak berkenaan.

4. Wangsa Maju, Kuala Lumpur

Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di sebuah rumah teres di Taman Seri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada 23 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas penduduk setempat melaporkan mengenai kejadian tersebut.

Susulan laporan itu, polis telah menahan ibu dan bapa tiri mangsa yang masing-masing berusia 35 dan 37 tahun kira-kira pukul 8 malam.

Pemeriksaan pada badan kanak-kanak itu menemukan kesan lebam di kaki dan pipi serta kesan rotan.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan suspek lelaki itu mendakwa mangsa cukup nakal.

Mohd Shuhaily berkata, hasil saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine manakala wanita yang juga ibu mangsa negatif dadah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram