[VIDEO] Penyanyi rap AS ditikam lelaki tidak dikenali ketika berlatih di gim


  • Benua
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Tangkap layar video dikongsikan memaparkan Blueface (kiri) menyerang dengan menumbuk suspek (tengah).

SEORANG penyanyi rap di Amerika Syarikat (AS) yang sedang membuat persiapan untuk pertarungan tinju ditikam di bahagian kaki oleh individu tidak dikenali ketika sedang berlatih di sebuah gim dekat Los Angeles.

Video insiden pada Rabu itu dikongsikan sendiri artis tersebut yang dikenali sebagai Blueface menerusi hantaran di Instragramnya.

Menurut laporan Los Angeles Times, artis berusia 26 tahun itu atau nama sebenarnya Jonathan Porter sudah dibawa ke hospital dan sedang melalui proses pemulihan.

Polis tempatan sebelum itu mengesahkan seorang lelaki dibawa ke hospital dengan kesan tikaman dalam keadaan masih sedar dan bernafas, namun enggan mengesahkan identiti mangsa sebagai Blueface.

Menurut pihak berkuasa, suspek dalam kejadian itu dilaporkan melarikan diri dengan menaiki kenderaan jenis Tesla Model S berwarna hitam tanpa plat lesen.

WhatsApp Image 2023-08-25 at 8.00.55 AM

Penyanyi rap, Blueface. — Agensi

Video yang dikongsikan Blueface itu memaparkan seorang lelaki baju putih dan berseluar jeans mendekati penyanyi rap itu, yang pada waktu itu memakai sarung tangan tinju.

Pada masa sama, seorang lagi lelaki yang kemudiannya dilaporkan portal TMZ sebagai jurulatih Blueface, David Kaminsky dilihat cuba untuk menenangkan keadaan.

Kedua-dua lelaki tersebut dilihat mundar-mandir di antara David sebelum Blueface bertindak secara tiba-tiba menumbuk muka suspek.

Penyanyi rap itu juga dilihat menyerang suspek dengan beberapa tumbukan lain.

Lelaki itu kemudiannya didapati berundur dan kelihatan mengeluarkan pisau dari poketnya.

Rakaman video itu bagaimanpun terpotong sebelum berlakunya dakwaan tikaman berkenaan.

“Dia terus menghampiri dan memandang tepat ke arah saya. Saya tahu pandangan itu,” cerita Blueface mengenai insiden tersebut.

Dia turut menyiarkan satu lagi klip lain memaparkan kakinya yang dibalut dengan pembalut berdarah dan memberitahu peminatnya supaya tidak bimbang.

“Ia hanya tikaman pada kaki, saya okey," katanya yang turut memaklumkan tidak dapat mengambil bahagian dalam pertarungan tinju yang dijadual pada 14 Oktober depan kerana insiden berkenaan.

David memberitahu TMZ bahawa lelaki tidak dikenali itu menyerang masuk ke gim dan menjerit mengancam, "saya akan bunuh anda" kepada Blueface.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat setakat laporan ini ditulis.

Dalam satu kes berasingan, penyanyi rap itu menghadapi pertuduhan cubaan membunuh di Nevada, AS membabitkan kejadian tembakan berhampiran Las Vegas Boulevard dan Sunset Road pada Oktober 2022. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram