SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun di Filipina berjaya diselamatkan selepas diculik dan disumbat ke dalam bagasi pakaian berwarna hitam sebelum diheret suspek yang mengenali keluarga mangsa.
Menurut laporan Sunstar.com, polis memaklumkan gadis berkenaan sebelum itu diculik ketika sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli minuman di kedai runcit di Pulau Cebu milik ibu saudaranya pada sekitar tengah hari Khamis lalu.
Apabila menyedari kehilangan anaknya selepas tempoh beberapa jam, ibu kepada kanak-kanak tersebut, Tyree Lanny Rendal segera melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
Dia juga kemudian turut melihat video keselamatan di bangunan pangsapurinya sebelum melihat seorang lelaki yang memakai 'hoodie' dengan membawa sebuah bagasi.
Selepas pencarian besar-besaran, Manilla Bulletin melaporkan polis akhirnya menemui budak itu di sebuah rumah tumpangan kurang 800 meter dari rumahnya yang terletak di daerah Bakilid di Mandaue City, Filipina.
Polis berjaya menahan suspek selepas melaksanakan pencarian besar-besaran. Bagasi hitam (kanan) yang digunakan oleh suspek untuk menyumbat mangsa. — Agensi
Ketika ditemui, kanak-kanak tersebut dilaporkan langsung tidak mengalami kecederaan serius kecuali calar kecil di tangan, kaki dan mulutnya kerana didakwa diikat dengan pita pelekat.
Polis menahan suspek, Godiflor Rama berusia 32 tahun, yang sudah bekerja selama lebih setahun sebagai penjaga pangsapuri di tempat kanak-kanak itu dan keluarganya tinggal.
Mangsa (tengah) ditemui pihak polis di sebuah rumah tumpangan kurang 800 meter dari rumahnya yang terletak di daerah Bakilid di Mandaue City, Filipina. — Agensi
Rama dilaporkan mengaku melakukan penculikan itu namun memberi alasan perbuatan itu dilakukan untuk memberi pengajaran kepada pasangan datuk dan nenek kanak-kanak itu selepas kedua-dua pihak terbabit difahamkan bertelagah.
"Saya harap keluarga dapat memaafkan saya atas apa yang saya lakukan," kata suspek kepada wartawan tempatan seperti yang dipetik The Daily Mail.
"Saya hanya melakukan itu kerana mereka menuduh saya mencuri barang-barang mereka, seperti beg dan penyangkut pakaian," ujarnya.
Rama berkata, dia tidak menutup sepenuhnya beg pakaian itu bagi membolehkan mangsa boleh bernafas ketika berada di dalam bagasi dan turut menafikan melakukan sebarang serangan seksual semasa penculikan berkenaan.
“Saya akui budak perempuan itu cantik, tetapi itu tidak bermakna saya menyukainya. Saya tidak merogolnya.
"Saya memberinya makan dan membiarkannya bermain permainan," katanya, sambil menegaskan dia berhasrat untuk memulangkan kanak-kanak itu kepada keluarganya selepas tempoh enam jam. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram