[VIDEO] Geng remaja bawah umur rompak butik, larikan 70 jam mewah cecah RM9 juta siang-siang buta


  • Benua
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Tangkap layar video yang tular semula sejak Sabtu memaparkan rompakan di sebuah butik jam mewah pada waktu siang hari di lokasi beli-belah terkenal di Tokyo.

KUMPULAN mafia baharu di Jepun kini menggunakan platform internet bagi merekrut anak muda dan remaja untuk melakukan pelbagai kegiatan jenayah termasuk rompakan.

Taktik yang kini sudah menjadi kebiasaan di negara Matahari Terbit itu tular semula menerusi satu video sejak Sabtu dengan memaparkan perbuatan sekumpulan perompak amatur menjalankan serbuan terhadap sebuah butik jam mewah pada waktu siang hari di lokasi beli-belah terkenal di Ginza, Tokyo, Jepun.

Berdasarkan klip tersebut, ketiga-tiga penjenayah itu yang identitinya kemudian diketahui sebagai remaja di bawah umur 17 tahun, melakukan rompakan berkenaan dengan memakai topeng dan 'hoodie'.

Dalam insiden yang berlaku sekitar Mei lalu itu, mereka dilihat memecahkan ruang pameran premis bagi mendapatkan barang curi terdiri daripada jam mewah.

Media melaporkan, sebanyak 70 jam jenama Rolex bernilai RM8.9 juta dirampas dalam kejadian rompakan itu.

Kumpulan penjenayah itu kemudiannnya dilihat melarikan diri dengan sebuah van sewa yang menggunakan nombor plat daripada kereta curi.

Bagaimanapun, polis dapat menjejaki mereka hanya dalam tempoh tidak sampai beberapa minit tidak jauh dari tempat lokasi.

Polis dapat menjejaki mereka dalam beberapa minit kerana gagal dengan hanya bersembunyi di tempat tidak jauh beberapa meter dari tempat kejadian.

7cc684b9-09df-4aad-afe0-f97f0e8ef187

Kumpulan perompak yang terdiri daripada remaja bawah umur melarikan diri dari lokasi rompakan.

Semua remaja lelaki itu dilaporkan datang dari bandar berdekatan Yokohama dengan polis diberitahu bahawa kumpulan itu tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya bertemu buat kali pertama untuk melakukan 'kerja' rompakan tersebut.

Rompakan itu menyaksikan sebahagian trend membimbangkan berlaku di negara tersebut yang dikenali sebagai 'yami baito'.

Ia menyaksikan anak muda diupah secara dalam talian untuk melakukan kegiatan jenayah.

Difahamkan, ramai daripada remaja itu diupah menyertai kegiatan terbabit melalui Telegram oleh kumpulan penjenayah baharu yang muncul bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh kumpulan mafia tradisional di negara itu yang dikenali sebagai yakuza.

Polis di Jepun sebelum ini melakukan tekanan berterusan terhadap yakuza sejak lebih sedekad lalu sehingga memusnah saki-baki kumpulan itu.

Bagaimanapun, situasi tersebut ternyata meninggalkan ruang untuk kewujudan satu lagi kumpulan penjenayah baharu yang menggunakan internet bagi melakukan rekrut secara besar-besaran.

Anak muda direkrut itu dijanjikan dengan 'ganjaran tinggi' peluang mendapatkan wang tunai secara pantas melalui iklan 'yami baito'.

Kebanyakan daripada mereka yang terlibat terdiri daripada remaja dengan latar belakang keluarga miskin, sekali gus memudahkan kumpulan berkenaan untuk mendapatkan kesetiaan daripada golongan berkenaan.

Dengan menjalankan taktik tersebut, ketua kumpulan penjenayah itu yang berkemungkinan beroperasi dari luar Jepun boleh melakukan aktiviti mereka tanpa perlu risau berhadapan tindakan daripada pihak berkuasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram