Anak jati Melaka curi tumpuan wakili skuad B-23 Malaysia selepas 'meletup' di Liga M3


  • Podium
  • Rabu, 16 Ogos 2023

Skuad B-23 kendalian E. Elavaran giat menjalani persiapan akhir di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Thailand hari ini. — Facebook/FAM

PEMAIN Imigresen FC, Hazim Abu Zaid mencuri tumpuan apabila beliau menjadi satu-satunya pemain daripada Liga M3 yang berjaya lolos ke skuad akhir untuk skuad muda negara.

Hazim akan bersama-sama pemain-pemain muda berbakat yang lain seperti Rahadiazli Rahalim, Aiman Afif dan V. Ruventhiran yang dipanggil oleh E. Elavarasan untuk menyarung jersi negara pada kejohanan Piala AFF B-23 yang diadakan di Rayong, Thailand.

Pemain sayap kiri itu sememangnya mencuri tumpuan ketika bersama-sama Imigresen FC dalam saingan Liga M3 musim ini. Hazim setakat ini berjaya menyumbangkan tiga gol dari posisi pemain sayap untuk membantu Imigresen FC menduduki tangga ketiga liga setakat ini.

Walaupun Imigresen FC dibarisi oleh para ‘otai’ Liga Malaysia seperti Hafiz Kamal, Nasriq Baharom dan Ashmawi Yakin, Hazim berjaya juga mencuri tumpuan hinggakan nama bekas pemain Melaka United ini berjaya menambat hati Elavarasan.

367701275_994899571583279_4214890681697633779_n

Hazim kini sudah menjaringkan tiga gol untuk Imigresen FC dalam saingan Liga M3 2023. Facebook/FAM

Sungguhpun telah berjaya lolos ke senarai akhir skuad Harimau Muda, namun Hazim masih perlu bekerja keras bagi memastikan namanya diletakkan dalam kesebelasan utama kelak.

Hal ini kerana, beliau pastinya perlu bersaing dengan pemain-pemain seperti Syahir Bashah, Daryl Sham dan juga Najmuddin Akmal untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Malaysia akan terbang ke Rayong pada Rabu sebelum memulakan cabaran dalam kumpulan B dengan menentang Indonesia pada Jumaat (18 Ogos) dan kemudiannya Timor Leste selang empat hari kemudian.

Hanya tiga juara kumpulan serta satu naib juara kumpulan terbaik yang akan layak ke separuh akhir dan Elavarasan tiada pilihan lain selain mensasarkan memenangi kumpulan B bagi memastikan tempat mereka di pusingan seterusnya terjamin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram