[VIDEO] Lupakan masalah seketika, golongan ibu pakai sari curi tumpuan gelecek bola atas padang


  • Podium
  • Isnin, 21 Ogos 2023

Tangkap layar rakaman video tersebut. — Agensi

SEPERTI yang diketahui, sukan bola sepak sering mendapat sambutan yang hangat dalam negara mahupun luar negara tanpa mengira lelaki atau wanita.

Menerusi satu perkongsian rakaman video di India, aksi sekumpulan kaum ibu sedang bermain bola sepak mencuri tumpuan warga maya.

Bukan sahaja gelagat lucu malah mereka juga dilihat bersemangat mempamerkan skil dan menendang bola.

Namun, apa yang lebih menarik adalah mereka bermain bola dengan hanya mengenakan sari dan bukannya menyarungkan jersi.

Ia sekali gus memecahkan stereotaip berkenaan pemakaian ketika bermain bola sepak.

Dalam rakaman video itu juga, sekumpulan kaum ibu tersebut dilihat berlari dengan riang untuk merebut peluang menjaringkan gol.

Walaupun berkain sari, pakaian itu tidak merencatkan pergerakan mereka untuk meluru ke pintu gawang sambil kaki menggelecek bola.

Sebilangan warganet mentafsir raut wajah ibu-ibu tersebut seperti dapat melupakan masalah yang dialami oleh mereka buat sementara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram