TUJUH individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun terkorban, selepas peluru berpandu Rusia menyasarkan sebuah teater di bandar Chernihiv, dekat utara Ukraine pada Sabtu.
Polis berkata, selain itu, 15 kanak-kanak lagi adalah antara 144 orang yang cedera, manakala kira-kira 25 individu dirawat di hospital.
Turut menjadi mangsa adalah sekumpulan individu yang sedang menyambut perayaan agama Kristian di gereja pada waktu kejadian.
Dalam serangan itu, jubin teater dilihat berterbangan seterusnya merosakkan bangunan berhampiran sehingga jarak 100 meter.
Serangan sama turut memusnahkan dataran dan bangunan sebuah universiti.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan serangan itu sebagai kejam, sementara Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berjanji akan melakukan serangan balas terhadap Rusia.
Pemangku datuk bandar Chernihiv, Oleksandr Lomako berkata, teater tersebut menganjurkan perhimpunan pengeluar dron ketika kejadian.
"Saya difahamkan bahawa teater menganjurkan acara ketenteraan menyebabkan ia menjadi lokasi sasaran.
"Namun, pihak Rusia yang melancarkan peluru berpandu itu pada waktu tengah hari mengakibatkan orang awam menjadi mangsa.
"Serangan terhadap orang awam ini merupakan satu lagi bentuk jenayah perang Rusia," tambahnya.
Chernihiv terletak kira-kira 50 kilometer (km) di sempadan selatan Ukraine dengan Belarus.
Kawasan itu dikepung oleh tentera Rusia dalam beberapa bulan pertama sejak Februari 2022.
Susulan serangan itu, Ukraine mengumumkan tiga hari tempoh berkabung di bandar Chernihiv.
Pada masa sama, Moscow masih belum memberi sebarang ulasan berhubung serangan tersebut.
Malah, Rusia sebaliknya mendakwa bahawa, sebuah dron Ukraine merempuh sebuah lapangan terbang tentera di wilayah barat laut Novgorod.
Selain menyebabkan kebakaran, sebuah pesawat turut mengalami kerosakan namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan itu.
Ukraine juga masih belum mengulas mengenai dakwaan serangan dron tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram