BEBERAPA pekerja sebuah pasar raya berdepan dengan detik cemas selepas premis berkenaan dirompak oleh empat orang lelaki bersenjata baru-baru ini.
Memetik laporan media antarabangsa Lambeturah.Com, kejadian itu berlaku di Muktiwari, Cibitung, Indonesia pada Ahad lalu.
Malah, video rompakan tersebut turut tular di media sosial sejak Ahad.
Pada waktu kejadian, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pekerja pasar raya tersebut sedang bersiap sedia untuk menutup operasi pasar raya berkenaan pada pukul 11.05 malam sebelum didatangi suspek.
Salah seorang daripada suspek mengacukan pistol kepada mangsa menyebabkan mereka ketakutan dan hanya mendiamkan diri.
Selepas itu, tiga daripada rakan suspek terus menggunakan peluang tersebut untuk mencuri wang di kaunter dan beberapa bungkus rokok.
Selepas selesai merompak wang tersebut, keempat-empat suspek terus melarikan diri meninggalkan tempat berkenaan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan polis kini giat memburu kesemua suspek.
Jumlah kerugian akibat kejadian itu masih tidak dapat dipastikan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram