PENGANGKUTAN awam darat merupakan perkhidmatan yang amat penting kepada masyarakat kerana perkhidmatan ini memudahkan mereka yang tidak memiliki pengangkutan persendirian bergerak daripada satu tempat ke tempat yang lain.
Sehubungan itu, kewujudan pengangkutan awam seperti e-hailing sememangnya memudahkan orang ramai.
Namun, di sebalik kemudahan tersebut, ada dalam kalangan pemandu perkhidmatan e-hailing yang tidak bernasib baik berdepan dengan penumpang yang bermasalah seperti kaki rompak dan penipu.
Terbaru, tular satu video memaparkan seorang pemandu e-hailing cuba ditipu oleh seorang pelanggan lelaki.
Menerusi video tular sejak Rabu tersebut memaparkan penumpang berkenaan cuba menipunya dengan menggunakan taktik untuk membayar tambang Grab tersebut selepas sampai ke destinasi.
Malah, penumpang tersebut tanpa segan silu dengan beraninya cuba untuk meminjam wang RM100 daripada pemandu itu.
Tindakan penumpang itu akhirnya membawa padah apabila pemandu berkenaan bertindak membawanya terus ke sebuah balai polis berdekatan sebelum lelaki itu nekad terjun daripada kenderaan tersebut untuk melarikan diri.
Sementara itu, seorang individu bernama Ahmad Azahari dipercayai pemandu e-hailing berkenaan turut berkongsi pengalaman buruknya itu di media sosial dan mahu para pemandu e-hailing lain berhati-hati dengan penumpang yang sama.
Menurut Azahari, ini merupakan kali kedua dia ‘terkena’ dengan lelaki tersebut menerusi dua aplikasi e-hailing yang berbeza. Sebelum ini, pelanggan itu pernah cabut lari tanpa membayar dan bernasib baik pihak Grab sudah mengembalikan cajnya.
“Hari ini saya terima satu pesanan dan dari awal saya seperti sudah syak penumpang ini penumpang yang sama pernah tipu saya dahulu. Saya turunkan kerusi hadapan supaya wajahnya jelas dirakam dalam kamera.
“Awal perjalanan lagi penumpang ini sudah minta RM100 daripada saya dan berkata kakaknya di Sungai Buloh akan membayar semula duit tersebut.
“Saya okay kan sahaja permintaan dia dan bawa dia ke balai polis Pandamaran, Klang, Selangor. Baru sahaja saya hendak masuk balai, lelaki itu sudah terjun,” cerita Azahari.
Menjengah ke ruangan komen, ada beberapa individu turut mendakwa mereka juga pernah ‘terkena’ dengan individu yang sama dan lelaki itu sering membuka akaun yang baharu supaya kegiatannya tidak terbongkar.
Seorang pengguna media sosial, KenFadz Zaki mendakwa dia pernah ditipu penumpang yang sama.
"Ramai sudah terkena, jalan cerita yang sama," katanya dan turut memuat naik satu video memaparkan penumpang tersebut.
Roslan Fazail turut menasihatkan pemandu e-hailing yang lain untuk berhati-hati.
"Dia (penumpang) ini macam scammer. Ramai yang dah kena, dia buat tiga akaun sekali gus. Destinasi yang sama dia nak pergi. Memalukan orang lelaki. Aku harap satu hari nanti dia akan kena tangkap juga," katanya.
Setakat berita ini ditulis, tidak dapat belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan daripada syarikat e-hailing tersebut mahupun pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan