TULAR video memaparkan insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki dipercayai berlaku dekat Ambala Cantt, di daerah Haryana, India pada Isnin.
Rakaman berdurasi 31 saat yang tular menerusi laman X (Twitter) pada Rabu itu memaparkan dua orang lelaki bertindak memukul dan menyepak seorang wanita beberapa kali sehingga dia berguling di atas jalan.
Berdasarkan video, beberapa orang lelaki lain turut mencederakan seorang lelaki dipercayai bapa kepada wanita berkenaan.
Dalam pertengkaran yang berlaku di kawasan rumah kedai itu, seorang lelaki dilihat menggunakan sebatang cangkul bagi tujuan mencederakan mangsa.
Lebih mendatangkan kemarahan warganet, seorang polis yang secara kebetulan melalui jalan itu dilihat langsung tidak menghiraukan kejadian yang berlaku depan matanya dan bersikap seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Bagaimanapun, punca pergaduhan masih belum dapat dikenal pasti dan belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan setakat ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram