[VIDEO] Tak makan pujukan, lelaki panjat pencawang maut terkena renjatan elektrik


  • Benua
  • Selasa, 18 Okt 2022

Tangkap layar seorang lelaki bergayut di pencawang elektrik sebelum maut terkena renjatan.

TULAR sebuah video memaparkan seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik dalam satu kejadian di Kasoa, Ghana pada Sabtu.

Rakaman video berdurasi 29 saat itu tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Difahamkan, lelaki terbabit memanjat pencawang elektrik tersebut untuk membunuh diri selepas mengalami kemurungan akibat masalah kewangan yang serius.

Menerusi video berkenaan, kelihatan seorang lelaki memanjat pencawang elektrik dan kedengaran orang ramai cuba memujuk mangsa turun namun tidak diendahkannya.

Tidak berapa lama kemudian, lelaki itu cuba bergayut sebelum tiba-tiba terkena renjatan elektrik sehingga terjatuh ke bawah.

Dilaporkan, lelaki terbabit meninggal dunia selepas kejadian kerana melecur selain mengalami kecederaan parah akibat terjatuh dari ketinggian 20 meter.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dengan tindakan lelaki terbabit memanjat pencawang elektrik untuk membunuh diri.

"Saya tak mampu habiskan menonton keseluruhan video kerana terlalu takut dengan kejadian tersebut," kata Marty.

"Mungkin dia sudah terlalu tertekan dengan masalah dan tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan perkara tersebut. Sangat mengejutkan dengan insiden ini," jelas Jesicca.

"Ini yang akan berlaku apabila diri tak mampu lagi berfikir dengan waras. Orang seperti ini memerlukan bantuan dari pelbagai aspek seperti khidmat kaunseling atau bantuan kewangan," luah Brad.

"Kenapalah dia pilih untuk mati dengan cara itu, sangat terseksa melihat keadaan lelaki tersebut," kata Jammie.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram