SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh teman wanitanya semasa bergaduh di sebuah rumah kedai, Sabtu lepas.
Saini Irwandy Sofian Sani, 23, dituduh menyebabkan kematian Shahwani Abdullah, 24, antara pukul 5 petang dan 4.54 pagi pada 24 Jun lepas di Taman Song Choon dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman mati.
Tiada pengakuan direkodkan, dan Majistret Jesseca Daimis menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta forensik, selain lantikan peguam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. M Moganaraj Mithra.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita maut dipercayai dibunuh teman lelakinya yang berada di bawah pengaruh dadah di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan mengesahkan penemuan mangsa yang lengkap berpakaian ditemukan terbaring di katil dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
Yahaya dilaporkan berkata, mangsa tinggal bersama suspek di rumah itu dan dikurniakan bayi lelaki berusia lapan bulan hasil hubungan tanpa ikatan perkahwinan.
Tiga suspek yang ditahan selain daripada teman lelaki mangsa tidak tinggal bersama namun datang ke lokasi kejadian dan hasil ujian saringan air kencing terhadap keempat-empat suspek mendapati hanya suspek utama iaitu teman lelaki mangsa positif dadah jenis methamphetamine.
Ketika ini, bayi hasil hubungan mangsa dan suspek diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram