SEORANG wanita berasal dari Uzbekistan ditemukan maut selepas terperangkap di dalam lif selama tiga hari baru-baru ini.
Kejadian itu dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan di lokasi tersebut.
Penghantar surat, Olga Leontyeva, 32, dilaporkan hilang apabila dia didapati tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja pada 24 Julai lalu.
Difahamkan, sewaktu terperangkap di dalam lif di sebuah bangunan di Tashkent itu, ibu kepada seorang cahaya mata berkenaan menjerit sekuat hatinya untuk meminta pertolongan daripada orang ramai.
Namun malang buat dirinya apabila bukan sahaja tiada siapa mendengar jeritannya, malah sistem penggera juga dikatakan tidak berfungsi sewaktu kejadian.
Menerusi video tersebut, Olga dilihat melangkah masuk ke dalam lif di tingkat bawah bangunan sembilan tingkat itu sebelum insiden berkenaan terjadi.
Keluarganya memaklumkan tentang misteri kehilangan wanita terbabit kepada pihak berkuasa pada 26 Julai sebelum mayatnya ditemukan pada keesokan harinya.
Dalam pada itu, pejabat pendakwa raya mengesahkan, siasatan kes tersebut sedang dijalankan.
Olga Leontyeva dilaporkan hilang sejak 24 Julai lalu. — Agensi
Siasatan awal mendapati lif buatan China itu berfungsi, namun ia tidak didaftarkan.
Jurucakap Rangkaian Elektrik Serantau, Fakhriddin Nuraliyev turut memaklumkan bahawa bekalan elektrik tidak terputus pada hari kejadian.
"Punca kejadian adalah lif yang tidak berfungsi. Ini juga disahkan penduduk rumah itu," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram