PASANGAN suami isteri Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam sebuah lif di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan (BTS), Kuala Lumpur.
Kejadian difahamkan berlaku pada Sabtu itu dikongsikan menerusi video yang dimuat naik di TikTok Hidayah Al Ehsan.
Rakaman berdurasi 45 saat itu memaparkan keadaan Hidayah, suami beserta dua orang anaknya dalam keadaan cemas dan sesak nafas setelah mendapati pintu lif tersebut tidak dapat dibuka.
"Kami terkurung dalam (lif) LRT BTS (Bandar Tasik Selatan) ni, siapa boleh tolong? Berpeluh-peluh dah ni. Kami OKU bawa anak-anak kecil.
“Apa malang nasib kami, sudah sesak nafas ni, ada anak-anak pula. Ada sesiapa boleh membantu?” katanya.
Hidayah turut memberitahu, kesemua butang lif kecemasan yang ada di situ tidak dapat berfungsi.
Suaminya dilihat cuba menendang pintu lif beberapa kali, namun cubaan mereka untuk keluar daripada lif tersebut masih gagal.
Turut kelihatan, beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba untuk membantu mereka.
Video itu mendapat reaksi warga maya yang rata-ratanya meluahkan rasa bimbang terhadap keadaan keluarga berkenaan.
“Dia tak panik kalau tidak bawa anak kecil kan. Sekarang macam mana mereka? Harap sangat dapat bantuan cepat,” ujar SERIsofea.
“Memang selalu berlaku macam ni dekat LRT Bandar Tasik Selatan,” tulis lasy scorpio.
“Aku dah menggeletar, ALLAHUAKBAR,” ucap siti19.
“Aku dah pernah kena lif LRT. Dah tekan semua butang tak berfungsi. Lif itu naik turun, dua tiga kali nasib baik lama-lama pintu terbuka juga,” kata seorang pengguna TikTok.
Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak pengurusan LRT berhubung insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram