[VIDEO] Angkara busuk hati, suami isteri didakwa kena simbah asid lepas kedai makan popular dibakar di Selayang


  • Tular
  • Khamis, 06 Jul 2023

Tangkap layar kejadian suami isteri disimbah asid di dalam lif Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak, Selangor pada Rabu.

GARA-GARA dengki, pasangan suami isteri yang juga pemilik sebuah kedai makan terkenal di Selayang didakwa disimbah asid selepas memasuki lif Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak, Selangor pada Rabu.

Kejadian itu dikongsikan menerusi satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dimuat naik menerusi hantaran di Facebook Khairy Adli pada Khamis.

Mangsa difahamkan melecur teruk di bahagian mata dan badan akibat tragedi tidak diduga tersebut.

Lebih parah, seminggu sebelum kejadian disimbah asid, kedai makan mereka hangus terbakar juga dipercayai angkara tidak puas hati pihak lain.

"Keluarga sahabat saya. Tragedi simbah asid di Pangsapuri Laksamana Jaya, peniaga suami isteri kena serang didakwa kerana dengki.

"Seminggu sebelum kejadian, kedai mangsa dibakar habis 100 total lost. Kemudian semalam (Rabu) mangsa disimbah asid. Mata dan badan melecur," katanya dalam hantaran tersebut.

Keadaan kedai makan mangsa yang terbakar seminggu sebelum kejadian simbah asid. — Facebook/Khairy Adli

Khairy mendakwa, meskipun bukan kali pertama keluarga berkenaan ditimpa musibah, namun baginya perbuatan menyimbah asid itu adalah agak keterlaluan.

"Bukan sekali dua benda-benda macam ini jadi kepada mangsa, tapi mereka bangun dan masih (teruskan) berniaga, tak sangka dah sampai main bakar kedai dan simbah asid," ujarnya.

Mata dan badan mangsa difahamkan melecur akibat tragedi tersebut. — Facebook/Khairy Adli

Dalam pada itu, Khairy mendakwa lagi, lokasi perniagaan suami isteri berkenaan sebenarnya adalah kawasan panas.

"Memang tak selamat nak berniaga di kawasan itu (sebab ramai) orang dengki. Kawasan mangsa berniaga memang teruk dengkinya.

"Harap polis cepat buat kerja. Selayang adalah kawasan panas untuk (melakukan) jenayah," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superitendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pukul 3.10 pagi, selepas insiden itu berlaku pada pukul 1.27 pagi.

Katanya, mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara asing berusia 37 tahun dan anak lelaki mereka berusia 14 tahun.

Menurutnya, suspek wanita bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari luar lif sebelum melarikan diri.

"Mangsa telah meminta bantuan orang awam untuk menghantar ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan selepas cedera di beberapa bahagian badan dan telah dibenarkan pulang manakala anaknya tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Noor Ariffin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini sedang mengesan suspek berkenaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nizar Adnan di talian 013-9661892 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03- 61262222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram