MASALAH dihadapi penduduk flat kos rendah sekali lagi menghangatkan perbincangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pada Sabtu lalu, seramai kira-kira 5,000 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Kuala Terengganu yang tinggal di blok perumahan 17 tingkat dilaporkan terjejas selepas satu-satunya lif boleh digunakan mereka dihentikan operasinya secara tiba-tiba pada Jumaat.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas lif terbabit disita oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kerana sijil layak menduduki atau CF bagi ketiga-tiga blok di PPR itu telah tamat tempoh.
Lebih memeranjatkan, penduduk di bangunan tersebut difahamkan sebelum itu bergantung hanya kepada satu lif untuk bergerak manakala enam lif lain di perumahan tersebut dilaporkan mengalami kerosakan.
Untuk rekod, masalah dihadapi penduduk di perumahan tersebut bukanlah kali pertama dilaporkan oleh media.
Ini kerana sejak Disember lalu, terdapat beberapa laporan yang menceritakan mengenai nasib dialami mereka selepas lif yang digunakan mereka didakwa kerap mengalami kerosakan sehingga menjejaskan keselamatan dan keselesaan penduduk.
Bukan itu saja, isu penyelenggaraan lif juga hanya antara masalah dihadapi oleh penduduk di flat kos rendah di seluruh negara.
Ini kerana terdapat pelbagai lagi masalah lain yang lazimnnya dihadapi oleh penghuni kediaman jenis tersebut.
Malah, isu yang membelenggu mereka itu juga menyebabkan kediaman flat kos rendah sering kali dikaitkan dengan imej negatif di mata masyarakat.
Berikut Majoriti senaraikan tiga isu utama yang lazimnya dihadapi penghuni di kediaman berkenaan:
1. Isu penyelenggaraan tidak konsisten
Keadaan kemudahan di flat kos rendah yang tidak terjaga dengan baik. — Gambar hiasan
Masalah isu penyelenggaraan yang tidak konsisten sememangnya menjadi antara masalah utama dihadapi oleh penduduk flat kos rendah.
Malah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini turut menzahirkan kekecewaannya terhadap keadaan bangunan dan tahap penyelenggaraan perumahan itu di negeri tersebut.
Titahnya, situasi itu menyebabkan penghuni kedaiaman tersebut seolah-olah hidup dalam reban ayam.
Masalah penyelenggaraan yang berlaku itu sering kali dikaitkan dengan isu ketidakupayaan penghuni untuk menjelaskan yuran bulanan penyelenggaraan kepada pihak syarikat penyelenggara dengan konsisten.
Malah, ada laporan mengatakan terdapat penghuni difahamkan sudah tidak membuat yuran pembayaran sehingga bertahun-tahun khususnya kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB).
Perkara itu menyebabkan syarikat yang ditugaskan untuk menyelenggara kawasan perumahan tersebut mempunyai kekangan untuk melaksanakan operasi mereka.
Dalam pada itu, tinjauan Gabungan Flat Kos Rendah MARHAEN (GFKR) terhadap 61 flat kos rendah di sekitar Selangor mendapati hanya 30 peratus penduduk di perumahan tersebut membayar yuran penyelenggaraan secara konsisten.
Penyelaras GFKR, S Mathavi berkata, kadar tahap kepatuhan pembayaran yang rendah itu berlaku antara lain disebabkan ketidakmampuan penghuni di kawasan tersebut yang terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah.
Jelasnya, situasi itu membawa kepada beberapa masalah terutamanya terhadap kemudahan penduduk antaranya kebersihan kawasan flat yang tidak terjaga, ketiadaan bekalan air untuk aktiviti pembersihan umum, saluran kumbahan tersumbat dan tekanan air rendah.
2. Penggunaan sebagai rumah sewa
Terdapat flat kos rendah yang seakan-akan sudah menjadi 'sarang' bagi pekerja pendatang asing. — Bernama
Idea awal kepada pembinaan rumah kos rendah pada awalnya dibuat bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman.
Bagaimanapun, dengan beberapa masalah yang timbul, ia menyebabkan ramai daripada penghuni asal di rumah terbabit tidak mengambil keputusan untuk keluar berpindah keluar.
Selain menjual kediaman masing-masing, ada antaranya membuat pilihan untuk menjadikan unit milik mereka sebagai rumah sewa termasuk kepada warga asing bagi mendapatkan pendapatan tambahan.
Malah, ada antara pemain hartanah turut menggunakan strategi dengan menyasarkan bagi membeli unit di flat kos rendah untuk mendapat untung dengan menjadikannya sebagai rumah sewa.
Perkembangan itu dilihat lari daripada matlamat asal pembinaan rumah tersebut yang pada awalnya disediakan bagi memenuhi keperluan golongan yang memerlukan.
Pada masa sama, isu berkenaan juga menjadi lebih tidak terkawal selepas ada antara rumah flat kos rendah sudah bertukar seakan-akan menjadi 'sarang' bagi menempatkan kumpulan pekerja warga asing.
Situasi itu bukan sahaja menimbulkan pelbagai gejala sosial yang tidak diingini, malah turut menjejaskan tahap keselamatan di perumahan tersebut.
3. Masalah kesejahteraan kanak-kanak
Persekitaran di kawasan flat kos rendah menyebabkan ia tidak lagi menjadi tempat yang kondusif untuk kanak-kanak. — Gambar hiasan
Beberapa beberapa isu asas yang membelenggu perumahan flat kos rendah menyebabkan perumahan tersebut kini kini dilihat tidak lagi menjadi tempat yang begitu kondusif untuk kanak-kanak.
Dengan tahap penyelenggaraan yang lemah, ia menyebabkan kemudahan yang berada di kawasan kediaman tersebut bukan sahaja gagal untuk sekurang-kurangnya memenuhi keperluan mereka, tetapi juga memastikan tahap keselamatan kumpulan tersebut.
Ini kerana sudah menjadi pemandangan yang biasa untuk kita melihat keadaan taman permainan yang tidak terjaga apabila berkunjung ke kawasan flat kos rendah.
Malah, terdapat juga perumahan jenis tersebut yang langsung tidak mempunyai kawasan permainan umum untuk kanak-kanak-kanak.
Kajian dijalankan Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2022 mendapati 13.4 peratus kanak-kanak dan remaja menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Klang mempunyai kecenderungan membunuh diri dan mencederakan diri sendiri akibat tekanan hidup dialami mereka.
Menurut penyelidikan dijalankan dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu, selain masalah ekonomi keluarga, reka bentuk kediaman yang terhad turut menjadi antara faktor utama menyumbang kepada perkara berkenaan.
Jelas laporan tersebut, saiz rumah yang tidak dapat menampung menampung kapasiti terutamanya yang memiliki keluarga besar menyebabkan golongan ini keluar dari kediaman masing-masing bagi menghilangkan tekanan.
Bagaimanapun, dengan ketiadaan kawasan umum yang selamat di kawasan persekitaran, ia menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai lagi masalah sosial lain termasuk penyalahgunaan bahan terlarang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram