[VIDEO] Pengantin baharu antara 7 maut, lif sekolah tiba-tiba terhempas dari tingkat 5


  • Benua
  • Khamis, 06 Jul 2023

Pihak polis menunjukkan lokasi lif terjatuh yang menyebabkan tujuh pekerja terkorban di Sekolah Islam Terpadu (IT) Az Zahra, Bandar Lampung, Lampung, Indonesia, pada Rabu. — Agensi

TUJUH maut manakala dua lagi cedera parah selepas lif dinaiki di Sekolah Islam Terpadu (IT) Az Zahra, Bandar Lampung, Lampung, Indonesia tiba-tiba jatuh terhempas dari tingkat lima dalam kejadian pada Rabu.

Kesemua mangsa terlibat terdiri daripada pekerja yang sedang menjalankan projek pembinaan di tingkat atas bangunan sekolah terbabit.

Difahamkan, salah seorang mangsa yang dikenali dengan nama Romi, 32, juga baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama pasangannya sejak setahun setengah lalu.

Ibu kepada Romi, Yunarsih berkata, anaknya itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital Bumi Waras ketika hari kejadian.

Menurut wakil polis Bandar Lampung, Kompol Dennis Arya Putra, keterangan daripada saksi menyatakan bahawa kejadian berlaku selepas lif barang dinaiki sembilan mangsa itu mengalami isu lebihan muatan sehingga menyebabkan tali angkat anduh lif berkenaan terputus ketika berada di tingkat lima.

"Lif ini sebenarnya hanya boleh digunakan untuk mengangkat barang, tapi pada waktu kejadian, mangsa menggunakan untuk turun dari atas ke tingkat bawah bangunan," katanya.

Dalam pada itu, pihak sekolah dilaporkan tidak segera melaporkan insiden itu di balai polis di bandar tersebut yang hanya berjarak 100 meter dari premis berkenaan.

Polis dipercayai hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas mendapat maklumat daripada hospital yang merawat mangsa tercedera.

Insiden tersebut berlaku ketika waktu cuti persekolahan di Indonesia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram