SEBUAH hotel di Johor Bahru, Johor menafikan berlakunya insiden lif jatuh yang sarat dengan penumpang daripada tingkat empat di premisnya seperti yang tular dalam satu video sejak Selasa.
Jurucakap KSL Hotel & Resort, Johor Bahru berkata, dakwaan tular dalam klip disebarkan sebuah akaun TikTok itu adalah palsu dan tidak tepat.
Katanya, ini kerana lif tersebut mengalami kerosakan akibat terlebih muatan, namun ia sudah berada di aras bawah dan bukannya di tingkat empat seperti dikatakan dalam video tersebut.
Tambah jurucakap itu, kes tersebut merupakan kejadian lama yang berlaku pada 30 Disember 2022 melibatkan lif barang atau kargo khas yang sepatutnya hanya digunakan pekerja hotel.
Jelasnya, tiada mana-mana individu yang terperangkap untuk tempoh yang lama dalam kejadian itu seperti didakwa, selain semua tetamu yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah menerima pampasan ekoran insiden terbabit.
Menurut jurucakap berkenaan, tiada sebarang ketidakpatuhan protokol keselamatan yang berlaku ketika insiden tersebut.
Video tersebut yang tular sejak Selasa mendapat lebih 250,000 tontonan memaparkan beberapa individu menyelit keluar daripada sebuah lif di hotel berkenaan.
Mengulas lanjut, jurucakap itu memaklumkan, KSL Hotel & Resort, Johor Bahru akan mengambil tindakan saman ke atas pihak yang bertanggungjawab menyebarkan video dan maklumat palsu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram