TINDAKAN seorang pelawak dan pencipta kandungan berasal dari Nigeria, Tembu Daniel yang mencabar dirinya untuk mencipta rekod maraton tangisan paling lama di dunia membawa padah apabila dia tiba-tiba menjadi 'buta' untuk seketika.
Pelawak itu difahamkan ingin menyahut cabaran luar biasa iaitu menangis secara berterusan selama 100 jam.
Kejadian itu dimuat naik di laman Instagram @237_towncryer baru-baru ini.
Lelaki berkenaan dilaporkan memulakan aksi tersebut pada 9 Julai lalu, tetapi terpaksa menangguhkan tangisannya enam jam kemudian apabila berdepan kesan sampingan yang di luar jangka.
Semasa melakukan aktiviti tersebut, Tembu Daniel difahamkan mengalami sakit kepala, mata menjadi sembap, muka bengkak dan paling teruk, dia merasa dirinya seolah-olah menjadi buta dan keadaan itu berlarutan selama kira-kira 45 minit.
“Saya terpaksa menyusun semula strategi dan mengurangkan tangisan saya. Saya tidak mahu membiarkan masalah ini menghalang saya daripada mencapai matlamat yang diinginkan,” kata pelawak berkenaan kepada BBC.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pencipta kandungan itu benar-benar berjaya menyelesaikan cabaran tersebut kerana rakaman percubaan yang dikongsikan di Instagramnya menunjukkan dia hanya mampu melakukannya kira-kira 5 jam 54 minit.
Dalam pada itu, akaun media sosial Rekod Dunia Guinness turut menjelaskan badan itu tidak pernah memantau percubaan rekod sedemikian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram