PERGAULAN campuran antara lelaki dengan perempuan yang dikatakan tinggal serumah tanpa sebarang ikatan sah seolah-olah mula dinormalisasikan oleh segelintir generasi muda.
Bukan itu sahaja, malah perkara tersebut dijadikan sebagai kandungan video di saluran YouTube oleh sekumpulan content creator remaja untuk tontonan golongan rakan sebaya mereka.
Kebanyakan kandungan video dalam saluran tersebut memaparkan budaya couple antara lelaki dengan perempuan tanpa sebarang ikatan, malah mereka dikatakan seolah-olah dilihat tinggal di sebuah rumah beramai-ramai.
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga video prank seperti tangkap basah pasangan, remaja mengandung dan lain-lain.
Lebih membimbangkan, video-video di saluran YouTube yang mempunyai 2.6 juta subscribers tu mempunyai purata kira-kira setengah juta tontonan yang memberi petunjuk, ia mendapat sambutan hangat dalam kalangan golongan remaja sendiri.
Keresahan tersebut diluahkan menerusi akaun Twitter @ConfessionLocal yang bimbang dengan lambakan video seumpama itu terutamanya melibatkan anak-anak muda tanpa pemantauan ibu bapa.
"Lepak seperti duduk sebuah rumah dengan alasan kerja dan rumah itu sebagai office. Ibarat pergi travel bersama, bilik asing. Isu ini dah lama ditegur, namun mereka tak ambil port.
"Malah, ada video prank mereka juga ibarat normalisasikan percampuran lelaki perempuan, couple dan prank kena tangkap basah pun ada. Agama mula dipermainkan," katanya dalam satu ciapan pada Sabtu.
Tangkap layar ciapan @Confessionlocal pada Sabtu memberi komen tentang kandungan video seorang YouTuber. — Twitter
Dalam pada itu, pemilik akaun Twitter tersebut turut mengingatkan supaya ibu bapa sentiasa memeriksa perilaku anak-anak mereka terutamanya memantau kandungan video yang ditonton.
"Banyak video prank yang tak sudah, prank hamil pun ada, ikhtilat tak jaga. Ramai fans mereka siap buat group Telegram lagi kalau ditegur, budak-budak ini akan menyerang kita balik.
"Saya menyeru, kita boikot content mereka," katanya.
Sementara itu, warganet turut meluahkan kekesalan kepada pencipta kandungan tersebut yang didakwa sanggup menggadaikan agama demi mendapatkan populariti.
"Adik aku yang sekarang darjah enam layan content-content dia ini. Hari itu dah tegur dah but still keras kepala," ciap @nurunnjhss.
"Dia orang ini macam tak kisah pasal halal dan haram. Dia orang ini bijak, tahu target dia orang budak dan remaja. So buat kisah cinta.
Kandungan video yang didakwa menormalisasikan budaya 'couple' dalam kalangan anak muda amat membimbangkan terutamanya apabila jumlah tontonannya agak tinggi.
"Lagi bijak, buat content setiap hari walaupun 'no message no input'. Asalkan ada hiburan baru setiap hari. So audiens tak bosan. Berkat atau tak, mereka tak ambil port," ciap @Nonametocalls.
Dalam pada itu, seorang pengguna Twitter @iniszaura menyarankan agar pencipta kandungan video tersebut dilaporkan ke pihak berkuasa supaya tindakan diambil.
"Buat saja laporan kat pejabat agama berdekatan. Bila ada repot, Insya-ALLAH dia orang akan ambush. Budak macam ini tak payah cakap panjang lebar," ciapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram