'Little boot is gone', Nurul Izzah kongsi kisah sedih keguguran kandungan


  • Primer
  • Rabu, 25 Jan 2023

Dalam status tersebut, Nurul Izzah turut berkongsi gambarnya memeluk ibu dan bapanya.

NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkongsi satu berita sedih di laman media sosial rasminya di Facebook mengenai kegugurannya pada Selasa.

Menerusi perkongsian itu, anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut memuat naik gambarnya memeluk ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bapanya.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menyatakan bahawa itu adalah pelukan pertama mereka selepas masing-masing berhempas pulas menyelesaikan kempen Pilihan Raya Umum-15 (PRU15).

Dalam nukilannya itu, Nurul Izzah dilihat cukup tabah dan redha atas pemergiannya anak keempatnya, malah beliau yakin dengan segala perancangan ALLAH SWT.

“Terlalu banyak yang telah kami lalui bersama - selesai berkempen, sempat pula menjangkiti Covid buat kali kedua, mendapat berita kami mengandung anak keempat.

"Kemudian, sedang sibuk menguruskan tugasan baru, ke sana ke mari, kembali ke Pulau Pinang, kemudian ke Putrajaya - dikejutkan pula dengan berita pemergian bayi yang dikandung. The little boot is gone (anak kecil ini sudah tiada lagi).

"Sesungguhnya kita millik ALLAH dan sesungguhnya kepada-NYA kita kembali. Syukur Alhamdulillah. Saya terfikir tentang semua wanita yang melalui episod serta pengalaman yang sama, walau jalur individunya berbeza," tulisnya.

Walaupun perasaan sedih menyelubungi dirinya, Nurul Izzah percaya tetap menerima takdir itu dengan reda dan tetap mensyukuri segala nikmat kurniaan Sang Pencipta kepadanya.

Pada yang sama, beliau turut sempat mendoakan mana-mana individu yang menerima nasib sepertinya untuk terus tabah dan kuat menghadapi ujian ALLAH SWT.

"Ungkapan mensyukuri nikmat, kata-kata indah untuk Yang Maha Esa yang kita ucapkan, walau mengalir air mata kerana kita hanyalah insan kerdil. Insan yang lemah dengan perasaan, hati, memori dan pengalaman.

"Jadi kepada anda, hampir semua kita yang pernah merasai kehilangan (insan tersayang), kita boleh menitipkan doa, berpelukan secara maya dan beri peringatan bahawa kehidupan perlu diteruskan.

"Dan kegembiraan tidak berbelah bahagi dan kebahagiaan, ia mengintai di setiap sudut sama ada senyuman Safiyah, Harith dan Yu Zhou atau dalam pelukan hangat papa dan mama saya sendiri. Setiap saat adalah penting.

"Selamat pulang ke setiap kemesraan yang anda alami. Penyembuhan satu perjalanan dan jika anda perlu mengambil sedikit masa untuk bernafas pada masa ini. Lakukan sahaja sebelum episod kehidupan baharu seterusnya bermula. Insya-ALLAH," luahnya.

WhatsApp Image 2023-01-25 at 00.48.33

Nurul Izzah dan suami.

Terdahulu, Nurul Izzah mendirikan rumah tangga kali kedua dengan seorang pengkaji daripada Khazanah Research Institute, Yin Shao Loong, pada 5 Ogos tahun lalu.

Nurul Izzah mempunyai sepasang cahaya mata iaitu Raja Nur Safiyah dan Raja Ahmad Harith hasil perkahwinan pertamanya.

Sementara, suaminya, Shao Loong pula mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.

Perkongsian Nurul Izzah mendapat maklum balas daripada pengikutnya dan beberapa ahli politik seperti Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ahli Parimen Muar, Syed Saddiq Abdua Rahman serta penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram