Projek DIY julang nama bekas wartawan, saluran YouTube cecah lebih 60 juta tontonan


Perubahan yang dirasakan sukar menjadi langkah pertama kepada permulaan baharu dalam kehidupan Gater.

SESETENGAH berpendapat memiliki kerjaya bermula pukul 9 pagi dan tamat apabila jarum cecah angka 5 petang itu lebih baik berbanding menguruskan syarikat sendiri.

Menerima pendapatan pada setiap hujung bulan dirasakan sebagai satu ‘konsep’ selamat berbanding perlu memikirkan tentang risiko yang perlu ditanggung.

Namun, bagaimana pula dengan mereka yang hilang pekerjaaan akibat dibuang kerja disebabkan 1001 alasan.

Situasi itu yang dialami oleh bekas wartawan hiasan dalaman di majalah, Chatelaine, Alexandra Gater.

Gater menjadi sebahagian daripada keluarga Chatelaine ketika dia melakukan latihan industri di organisasi terbabit.

majoriti2022 (3)

— YouTube

Kemudian dia meneruskan kerjayanya dalam bidang kewartawanan sehinggalah organisasi tersebut memperuntukkan dirinya untuk melakukan transisi ke arah pengisian digital.

Perkara itu dilakukan Gater bagi memenuhi kehendak syarikat yang ingin berdaya saing dengan zaman teknologi.

“Saya memulakan siri YouTube yang dipanggil The Home Primp. Program itu membantu milenial menghias kediaman mengikut bajet.

“Kami menghasilkannya selama setahun, namun hasilnya kurang memuaskan berbanding respon diterima di web.

“Bagaimanapun video kedua terakhir yang dilakukan berjaya menarik perhatian sehingga mencapai lebih jutaan tontonan,” terangnya teruja.

Tentu sahaja perkara itu menjadi sesuatu yang bermakna buat Gater apabila usahanya berhasil.

Episod baharu

Namun, langit tidak selalunya cerah. Gater kemudian dikhabarkan kehilangan pekerjaan selepas syarikatnya memilih untuk melepaskan sebilangan pekerja.

Dia menjadi antara 90 kakitangan yang dibuang. Tidak dinafikan berita itu satu tamparan besar buatnya memandangkan dia seperti sudah sebati dengan apa yang dilakukan.

Meskipun berbekas luka, Gater tidak membiarkan kerjaya berakhir dengan noktah. Dia kemudian bangkit dan meneruskan usaha untuk memulakan episod baharu buat dirinya.

Justeru, sekitar 2014 Gater meletakkan ‘jenamanya’ di YouTube. Selain berkongsi tentang info hiasan dalaman, dia juga mengajar bagaimana lakukan hiasan rumah do it yourself (DIY) atau lakukan sendiri.

Gater yang dibantu oleh teman baiknya, Carla Antonio membuktikan usaha mereka selama ini sememangnya berbaloi.

Kini, saluran Alexandra Gater sudah memiliki lebih 509,000 langganan dengan jumlah 63.5 juta tontonan.

majoriti2022 (4)

Gater mahir dalam seni hiasan dalaman berkongsi kemahirannya itu di YouTube. — Instagram

Percaya kata hati

Masa silih berganti, Gater kini tidak hanya bergelar sebagai Youtuber, tetapi dia turut menyandang status sebagai usahawan.

Dia menawarkan khidmat hiasan dalaman yang tentu sahaja memenuhi cita rasa masa kini.

Bukan sahaja membuatkan kediaman kelihatan lebih indah, tetapi Gater menerapkan elemen tempat simpanan barang dan susun atur yang menyerlahkan nilai estetik ruang.

Melihat kepada perjalanan kerjayanya di dunia digital, segala yang dikecapi Gater kelihatan mudah.

Namun, segalanya tidak seperti yang disangka. Gater mengakui kerjaya di alam maya penuh dengan cabaran dan saingan.

Bagaimanapun dia tetap tidak mengalah dan meneruskan usaha untuk kekal positif dan tidak terlalu memikirkan perbezaaan mahupun membandingkan dengan pencipta kandungan lain.

“Saya berada di media sosial dan menghasilkan video YouTube dan ini adalah dunia yang sangat kompetitif.

“Sesuatu yang saya lakukan hampir setiap bulan, ada kalanya setiap minggu.

“Saya sentiasa percaya dengan kata hati dan jangan terlalu membandingkan diri dengan orang lain,” ujarnya.

Gater tidak hanya menggalas tanggungjawab sebagai pengacara rancangan, tetapi dia juga kini sudah memiliki beberapa pekerja yang berkhidmat dengannya.

Muncul di TEDx

majoriti2022 (1)

Kakitangan Gater antaranya Amanda, Alana, James Alessandra dan Carla yang berkhidmat dengannya. — Instagram

Wanita berasal Toronto, Kanada itu kemudian mencipta kejayaan apabila muncul program bicara TEDx Centennial College Toronto.

Diadakan secara maya pada awal April 2020 memandangkan seluruh pelosok dunia berhadapan dengan ancaman virus Covid-19.

Dalam program tersebut, Gater berkongsikan perjalanan dia mencipta nama dengan kerjaya baharu selepas berhenti menjadi wartawan majalah.

“Selepas selesai menyampaikan perkongsian di atas pentas, saya merenung seketika pada setiap pencapaian yang sudah dikecapi.

“Saya merasakan perkembangan kerjaya ini terlalu cepat dan banyak perubahan berlaku dengan pantas.

“Pada masa sama saya juga perlu cepat membiasakan diri dengan perubahan baharu,” terangnya.

Dalam pada itu Gater turut meletakkan sasaran untuk menghasilkan produk sendiri, menulis buku dan terus melakukan pengubahsuaian kediaman di salurannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram