[VIDEO] Tragedi meruntun jiwa, pemuda baik dijemput ajal 48 jam sebelum bertunang di Jitra, pasangan kat sebelah terselamat


  • 112
  • Khamis, 20 Jul 2023

Keadaan Toyota Hilux yang remuk selepas terbabas dan merempuh pokok di Jitra pada Rabu. Pasangan itu sepatutnya bertunang esok. — Facebook

SEORANG lelaki maut sementara pasangannya dilaporkan terselamat selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kampung Penia, Mukim Malau, Jitra, Kedah pada Rabu malam.

Mangsa, Mohd Khairulnizam Abdullah, 25, dalam perjalanan dari Bukit Minyak, Pulau Pinang dilaporkan meninggal dunia ketika menjemput pasangannya, Nurul Syifa Ahmad Syukri, 26, yang bekerja di sana untuk pulang ke rumahnya di Kampung Penia, Mukim Malau, Jitra.

Difahamkan, pasangan itu terlebih dahulu singgah makan terlebih dulu sebelum kereta Toyota Hilux yang dipandu Mohd Khairulnizam hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok dan kemudiannya terbalik.

Nurul Syifa dilaporkan terselamat dalam nahas tersebut.

Menurut perkongsian keluarga mangsa di media sosial, kedua-dua pasangan itu dikatakan sudah membuat segala persiapan untuk majlis pertunangan yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat namun reda dengan ketentuan ALLAH.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan dalam kenyataannya berkata, ketika kejadian, pemandu yang ketika itu berada di lorong kanan secara tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kiri lalu terlanggar beberapa batang pokok dan terbalik.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Forensik Hospital Jitra untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, rakan akrab mangsa, Nashriq Mohd dalam perkongsian di Facebook menyifatkan arwah seorang yang baik dan mudah memberi pertolongan, selain berbudi bahasa dan lembut ketika berkata-kata. Allahyarham, katanya, juga pemurah dengan senyuman manis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram