[VIDEO] Mangsa selamatkan diri lompat keluar dari kereta api nahas bertembung treler di Jakarta


  • Benua
  • Rabu, 19 Jul 2023

Keadaan laluan kereta api tersebut setelah perlanggaran berlaku pada Selasa malam. — Agensi

SEBUAH Kereta Api Brantas (KA Brantas) yang menuju ke Stesen Pasar Senen Stesen Jakarta-Blitar dilaporkan meletup selepas bertembung dengan lori treler di jambatan Jalan Madukoro, Semarang, Jawa Tengah, Indonesia pada Selasa malam.

Kemalangan besar itu dipercayai berpunca daripada treler tersebut yang melanggar pintu rel, hingga menyebabkan perlanggaran itu tidak dapat dielakkan.

Menerusi video yang dikongsikan di laman sosial, kedengaran bunyi rempuhan yang kuat ketika kemalangan itu berlaku hingga akhirnya mencetuskan kebakaran besar.

Kereta api itu dipercayai melanggar bahagian hadapan lori treler yang tidak membawa kontena itu hingga diseret kira-kira 50 meter dari persimpangan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat nahas yang berlaku sekitar pukul 7.15 malam itu, bagaimanapun setakat ini difahamkan salah seorang penumpang yang berada di dalam kereta api tersebut mengalami kecederaan sewaktu cuba melompat keluar daripada kereta api itu untuk menyelamatkan diri.

Menurut laporan liputan.com, mangsa yang melompat keluar daripada kereta api itu ialah masinis atau pegawai yang bertugas mengoperasikan kereta api.

"Pembantunya juga ikut sama lompat keluar daripada kereta api dari ketinggian kira-kira 10 meter," katanya.

Keadaan tersebut menyebabkan perjalanan kereta api dari arah Jakarta dan ke Jawa Timur mengalami gangguan perjalanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram