[VIDEO] Gara-gara cemburu, suami tergamak simbah minyak petrol sebelum bakar isteri bersama 2 anak


  • Benua
  • Isnin, 03 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan isteri dan salah seorang anak mangsa mengalami kecederaan akibat terbakar 55 peratus selepas dibakar suami di Cakung, Jakarta Timur, Indonesia.

RASA cemburu yang menguasai diri mendorong seorang lelaki untuk membakar isteri bersama dua orang anaknya di sebuah rumah di Cakung, Jakarta Timur, Indonesia.

Berdasarkan maklumat daripada jiran mangsa, Ruswanto, sebelum insiden berkenaan berlaku pada minggu lalu, pelaku, Usman Sayuti bergaduh dengan isterinya, Winarsih dan bertindak mencederakan wanita tersebut.

Menurutnya, punca pergaduhan tersebut adalah disebabkan kononnya isteri suspek mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ruswanto berkata selepas pergaduhan tersebut, Winarsih keluar dari rumah untuk membeli lauk, manakala Usman pula pergi minyak petrol yang tidak jauh daripada rumah mereka.

Tambahnya, dia terdengar jeritan daripada rumah pasangan berkenaan setelah mangsa pulang dari kedai.

"Saya bersama jiran-jiran lain keluar dari rumah dan ketika itu, api sudah marak dan membakar sebahagian ruang tamu rumah mangsa.

"Tidak lama kemudian, salah seorang anak mangsa keluar dari rumah dan terjun ke dalam longkang untuk memadamkan api yang membakar dirinya," katanya.

Dalam pada itu, pihak polis Jakarta Timur memaklumkan hasil siastan awal mendapati Usman bertindak menyimbah minyak petrol tersebut kepada isteri dan dua orang anaknya yang ketika itu sedang bermain telefon bimbit sebelum menyalakan api serta membakar ketiga-tiga mangsa.

"Namun akibat panik, suspek turut bertindak membakar diri sendiri," katanya.

Dalam insiden terbabit, Usman hanya terbakar 20 peratus di bahagian paha, dan tangan kanan, manakala isterinya serta dua anaknya terbakar hampir 55 peratus. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram