[VIDEO] Misteri air sungai berubah 'darah' terbongkar, wanita muda pemilik kain batik rupanya dalang sebenar


  • Benua
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Tangkap layar air sungai di Pamekasan, Madura, Indonesia, bertukar warna merah pekat seperti darah pada Isnin.

KECOH apabila air sungai di Pamekasan, Madura, Indonesia dilaporkan bertukar warna merah seperti darah baru-baru ini.

Sungai yang mengalir dari hulu Empangan Klampar hingga ke hilir Kota Pamekasan itu meraih perhatian penduduk di kawasan berkenaan yang nyata terkejut dengan perubahan warna tersebut pada Isnin.

Hasil siasatan polis, punca kejadian adalah disebabkan perbuatan seorang pekerja kedai dari perkampungan Klampar yang dikatakan menjual pelbagai jenis serbuk pewarna tekstil.

Wanita berusia 29 tahun yang hanya dikenali sebagai M itu didakwa sengaja membuang serbuk pewarna tekstil yang digunakan untuk kain jenis batik Remasol ke dalam empangan sungai berkenaan.

Ketua Perhubungan Awam Polis Pamekasan, Sri Sugiarto berkata, wanita terbabit difahamkan membuang serbuk itu kerana ia telah tamat tempoh.

Isu itu terjawab sebaik polis menemukan sejenis beg plastik dalam baldi yang berisi sisa serbuk Ramasol tersebut di kawasan sekitar empangan terbabit.

"Hasil siasatan dijalankan, kami mendapati ada pihak yang membuang serbuk pewarna kain batik itu ke sungai Klampar," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan bekas Ketua Polis Palengaan, Kabupaten Pamekasan, Indonesia itu dilaporkan sedang menunggu keputusan ujian makmal berhubung kandungan bahan yang mencemarkan air di sungai tersebut.

Hasil makmal akan menentukan sama ada ia diklasifikasikan sebagai pencemaran alam ataupun tidak.

"Kami masih meneruskan siasatan berhubung kes ini dan sedang menunggu keputusan lanjut," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram