Kehadiran Adam Hamid ancam kedudukan Nazirul Naim, 3 kelab sesuai jadi destinasi baharu


  • Podium
  • Selasa, 04 Jul 2023

Kelibat Nazirul Naim di KL City FC dijangka akan tergugat. — Facebook/PerakFC

SKUAD KL City FC dijangka memiliki seorang pemain pertahanan baharu tidak lama lagi dengan kelab itu sedang menjalani sesi percubaan bersama bek kiri muda yang beraksi di Liga Serbia dan Bosnia-Herzegovina.

Pemain berusia 21 tahun, Adam Hamid berkongsi pengalaman itu di laman Instagram peribadinya yang menyaksikan individu itu sedang diuji oleh pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu.

Sekiranya semua berjalan lancar, tidak mustahil Adam akan menjadi rekrut pertama KL City FC untuk tetingkap perpindahan kedua dibuka bermula pada 5 Julai ini.

Namun, kedatangan pemain itu ke skuad Warga Kota itu dilihat akan memberikan ancaman kepada pengalaman Nazirul Naim Che Hasim yang juga bermain di posisi tersebut.

Pernah disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya, pemain berketinggian 1.67 meter itu mencatatkan sebanyak sembilan penampilan bersama KL City setakat ini dan boleh dikatakan antara tonggak utama pasukan di kubu pertahanan.

Dengan kemasukan Adam Hamid yang dijangka menggantikan tempat pemain kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu, beberapa pasukan lain di Liga Malaysia (Liga M) disebut sebagai destinasi terbaik buat individu itu berhijrah.

raks

1. Perak FC

Merupakan bekas pemain yang pernah menyarung jersi skuad Seladang pada musim 2021, pengalamannya di pasukan itu cukup untuk dijadikan sebagai tonik terbaik sekiranya dia kembali ke Perak.

Memiliki persefahaman yang baik dengan rakan sepasukan di era kegemilangannya, menjadikan Nazirul antara pertahanan terbaik di saingan liga musim itu.

Sokongan peminat terhadapnya juga tidak boleh dipertikaikan dengan rata-ratanya meletakkan sandaran padanya bagi mengekang asakan lawan dengan susuk tubuh tegap dimilikinya.

Anak jati Kuala Kangsar itu sebelum ini memohon pelepasan daripada pihak pengurusan Seladang untuk meninggalkan pasukan itu yang telah disertai sejak musim 2016.

Berdasarkan laporan terdahulu, Nazirul Naim tidak akan sesekali melupakan jasa dan sumbangan Perak FC kepadanya selain sentiasa terbuka untuk kembali beraksi bersama kelab itu pada masa akan datang.

aliff

2. Terengganu FC

Posisi pertahanan kiri Terengganu FC yang kini didominasi Alif Zakaria dilihat kurang memberansangkan dengan kelibat pemain itu di atas padang kerap kali longlai dan mudah dibolosi.

Kian hangat diperkatakan dalam kalangan peminat, skuad Penyu dikatakan amat memerlukan seorang individu berpengalaman bagi memimpin pertahanan pasukan tersebut.

Meskipun beraksi penuh dalam kesemua 14 perlawanan liga, persembahan pemain berusia 25 tahun itu masih belum cukup untuk membantu pasukannya muncul selaku pencabar utama pada musim ini.

Memerlukan seorang pemain yang kental dan tegap di posisi tersebut, Nazirul Naim menjadi tumpuan peminat untuk melihat dia diserap masuk ke Terengganu.

nnat

3. Kelantan United

Menduduki carta kedua tercorot liga, kelemahan barisan pertahanan Kelantan United dianggap sebagai punca utama kejatuhan pasukan itu pada musim ini.

Tewas 11 daripada 15 perlawanan ditempuh setakat ini, pasukan itu amat memerlukan pemain pertahanan yang mampu menjadi ketua kepada barisan pemain muda di skuad tersebut.

Dibarisi ramai pemain kurang ternama dan tidak berpengalaman, kekebalan pemain pertahanan amat diperlukan untuk mengelak pasukan itu daripada terus menjadi skuad belasahan musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram