Putus tunang punca kes wanita maut ditikam di Kota Kinabalu


  • 112
  • Selasa, 30 Mei 2023

Mangsa maut ditikam oleh bekas tunangnya dalam kejadian di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu, Sabah. — Facebook/SABAHitz

AKIBAT cemburu dan tidak berpuas hati pertunangan diputuskan, seorang lelaki tergamak menikam bekas tunangnya sebanyak lapan kali dalam kejadian yang berlaku di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

Dalam insiden yang berlaku pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai di pusat beli belah terbabit dilaporkan maut di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang menyatakan telah tertikam bekas tunangnya.

Katanya, susulan daripada panggilan itu sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang wanita dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah dipercayai akibat ditikam.

"Turut berada di lokasi ialah seorang suspek yang merupakan bekas tunang mangsa yang telah ditahan oleh pihak pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada polis.

"Hasil siasatan mendapati, punca kejadian disebabkan cemburu dan suspek tidak puas hati kerana mangsa memutuskan hubungan mereka dua hari sebelum kejadian.

"Oleh itu, suspek cuba memujuk mangsa di tempat kerjanya, namun mangsa enggan meneruskan hubungan mereka atas sebab peribadi," katanya dalam kenyataan pada tengah malam Selasa.

Katanya lagi, berang dengan keputusan mangsa menyebabkan suspek bertindak menikam mangsa.

"Suspek menikam sebanyak lapan kali pada bahagian tubuh mangsa sehingga menyebabkan kematian.

"Pihak paramedik yang berada di lokasi kejadian cuba menyelamat mangsa dengan memberikan bantuan pernafasan (CPR) tetapi mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 1 petang sebelum dihantar ke unit forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk dibedah siasat.

"Suspek pula ditahan reman untuk membantu siasatan dan pisau yang digunakannya turut dirampas," katanya.

Kalsom berkata, kes yang disiasat di bawah 302 Kanun Keseksaan itu dianggap telah selesai selepas suspek berjaya ditangkap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram