Anak ada rekod psikiatri lampau bunuh ibu lepas ditegur buat bising


  • 112
  • Isnin, 19 Jun 2023

Polis turut merampas sebilah pisau dapur dan kapak yang disyaki digunakan lelaki terbabit dalam kejadian itu. — Gambar hiasan

SEORANG warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya selepas ditegur oleh mangsa kerana membuat bising dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Temiang, dekat Muar, Johor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian pada pukul 8.20 malam itu, wanita berusia 73 tahun tersebut mengalami kecederaan parah di kepala serta leher kerana dipercayai dipukul oleh anaknya yang berusia 47 tahun dengan menggunakan senjata tajam.

"Mangsa terbunuh di tempat kejadian iaitu di rumah mereka selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta leher.

"Kejadian berlaku dipercayai akibat tindakan mangsa menegur anaknya itu kerana membuat bising yang menyebabkannya mengamuk dan memukul kepala mangsa dengan menggunakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang didapati mempunyai rekod psikiatri lampau, ditahan sejurus pihak polis berada di lokasi kejadian.

Raiz Mukhliz berkata, pihaknya turut merampas sebilah pisau dapur dan kapak yang disyaki digunakan lelaki terbabit dalam kejadian itu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk bedah siasat.

Pada masa sama, orang ramai dinasihati agar peka serta melakukan pemantauan rapi terhadap mana-mana individu yang mengalami masalah psikiatri seumpama itu, supaya tidak mendatangkan bahaya kepada nyawa, harta, individu lain, ahli keluarga serta keselamatan awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram