Kantoi curang dengan 'housemate', lelaki asing cemburu tikam teman wanita 18 kali di Kelana Jaya


  • 112
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Suspek dipercayai menikam mangsa sebanyak 18 kali menggunakan pisau pemotong buah di sebuah kondominium di Kelana Jaya pada Jumaat lepas. — Gambar hiasan

GARA-GARA cemburu, seorang lelaki warga India tergamak menikam sehingga 18 kali teman wanitanya menggunakan pisau pemotong buah di sebuah kondominium di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, semuanya terbongkar selepas suspek yang berusia 30 tahun ditahan sepasukan Polis Bantuan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan setelah menceroboh landasan dipercayai untuk membunuh diri, sehari selepas kejadian.

Beliau berkata, suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku membunuh teman wanitanya berumur 40 tahun yang juga warga India antara 4 petang hingga 6 petang, 2 Jun lalu.

Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek membunuh kekasihnya itu gara-gara cemburu kerana percaya wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang tinggal serumah dengan mereka.

"Susulan itu, sepasukan polis ke lokasi seterusnya menemukan enam warga asing termasuk seorang wanita selain seorang lelaki tempatan di dalam unit kondominium terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada Jumaat.

Mohamad Fakhrudin berkata, suspek kemudian menunjukkan bilik mangsa sebelum polis kemudian menemukan seorang wanita dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa selain menjumpai sebilah pisau dipercayai digunakan untuk membunuh.

Katanya, mangsa yang berkahwin dan mempunyai suami serta anak di India datang ke Malaysia bersama suspek kira-kira tiga bulan lepas menggunakan pas lawatan sosial.

Mangsa bekerja sebagai pendandan rambut di Kota Damansara manakala suspek sebagai pelayan restoran di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara.

Beliau berkata, suspek bersama tujuh lagi penghuni kondominium berkenaan direman selama tujuh hari sejak 4 Jun lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 kerana membunuh. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram