MANA-MANA tentera Rusia yang terlibat dalam Kumpulan Tentera Upahan Wagner Group akan dilabel sebagai pengkhianat kepada negara berkenaan dan akan dihukum.
Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, tindakan tersebut diibaratkan sebagai membelot kepada rakyat dan negara itu sendiri.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri dengan pengkhianatan tersebut dan akan terus mempertahankan negara berkenaan daripada serangan dari dalam ini.
"Ini adalah pengkhianatan terhadap mereka yang berjuang di barisan hadapan dan ia adalah tikaman di belakang tentera kita dan rakyat Rusia.
"Pertelingkahan ini menyebabkan kekacauan dan penindasan besar sama seperti yang pernah berlaku semasa Perang Dunia II dan mengakibatkan tragedi perang dan Rusia menjadi mangsanya.
"Kami tidak akan membiarkan perkara ini berulang dan akan mempertahankan tanah air kami dengan mengatasi halangan tersebut," katanya dalam satu sidang media khas yang disiarkan secara langsung pada petang Sabtu.
Dalam pada itu, Putin berkata, pihaknya telah memberi amaran kepada tenteranya untuk tidak terlibat dalam gerakan berkenaan.
Tangkap layar Putin semasa sidang media khas yang ditayang secara dalam talian pada Sabtu.
"Saya adalah Presiden Rusia yang juga warganegara Rusia sedang melakukan segala-galanya untuk menangkis serangan ini dan untuk memastikan keselamatan rakyat kita.
"Pemberontakan itu telah mengkhianati Rusia dan saya menggesa sesiapa yang terlibat di dalamnya supaya tidak terlibat dalam konflik bersenjata ini," katanya.
Terdahulu, media melaporkan kumpulan Organisasi Tentera Rusia, Yevgeny Progozhin dituduh cuba melancarkan serangan rampasan kuasa terhadap Presiden Vladimir Putin susulan pemberontakan bersenjata yang dianjurkan.
Video yang tersebar luas di media sosial menunjukkan kenderaan berperisai tentera dan pengawal negara itu telah dikerahkan di Moscow dan bandar selatan Rostov-on-Don, Ukraine yang merupakan tempat pejuang Prigozhin beroperasi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram