KEMUDAHAN tandas awam di sebuah medan selera di Bahau, Negeri Sembilan hanyalah perhiasan ketika Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming melawat kemudahan tersebut baru-baru ini sebelum didakwa dicabut semula oleh pihak pengurusan tandas tersebut.
Difahamkan, semua peralatan seperti pengering tangan dan pembersih tangan telah dicabut, termasuklah bekalan air dan elektrik turut diputuskan sebaik sahaja lawatan menteri tersebut tamat.
Keadaan tersebut menyebabkan orang ramai tidak dapat memahami situasi tersebut dan menyangka ia hanyalah gimik bagi menampakkan tandas tersebut sempurna di mata pihak kementerian.
"Walaupun sebelum ini tiada bekalan air dan elektrik, kemudahan ini telah dipasang beberapa hari lalu dengan bantuan pegawai.
"Malangnya, selepas program selesai, semua peralatan telah dikeluarkan termasuk paip air dari tangki tandas, mengembalikan semuanya kepada keadaan asal," dakwa salah seorang warganet di Facebook baru-baru ini.
Bagaimanapun menurut laporan portal berita tempatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah Bahau menerima aduan berkenaan dan telah diarahkan untuk memasang semula pengering tangan dan cecair pembasmi kuman dalam tandas berkenaan.
Selain itu, pihaknya turut memaklumkan bekalan air dan elektrik tetap berjalan seperti biasa, walaupun salah satu tandas mempunyai masalah kebocoran paip yang menyebabkan terputus elektrik buat sementara waktu.
Namun begitu, isu bekalan air itu telah dapat diselesaikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram