'Agong pun tidak dilayan sebegitu', bekas MP Jelutong bengang petak parkir kena cop VVIP makan nasi kandar di George Town


  • Massa
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Beberapa tempat letak kereta disita semasa Nga Kor Ming dan A. Rajendran melawat satu kedai nasi kandar di George Town, Pulau Pinang. — Sin Chew Daily

HANYA kerana melayan golongan VVIP, beberapa petak tempat letak kereta berhampiran sebuah kedai nasi kandar di George Town, Pulau Pinang ditutup kepada orang awam.

Bekas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menerusi satu bebenang di Twitter memaklumkan perkara tersebut berlaku semasa Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk A. Rajendran dipercayai bersantai di restoran berkenaan.

Beliau turut mendakwa kerabat diraja tidak mendapat layanan sama seperti mereka ketika berkenan berangkat melawat kawasan tersebut di Pulau Mutiara itu.

"Pasal menteri dan Datuk Bandar nak bersantai, petak-petak parkir di sepanjang jalan disita untuk kegunaan VVIP.

"Agong dan Sultan pun protokol tak macam begini di Pulau Pinang," ciapnya pada Sabtu.

Pada masa sama, bekas ahli DAP itu turut menunjukkan beberapa keratan akhbar laporan surat khabar tempatan, The China Press dan Sinchew Daily keluaran Sabtu memaparkan beberapa tempat letak kereta di kawasan berkenaan disita dengan tali pita bagi menghalang orang awam menggunakan kemudahan tersebut.

Belum ada kenyataan balas daripada Kor Ming dan A. Rajendran berhubung perkara itu setakat ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram