Boleh bayar dam di luar Tanah Haram, tapi jemaah kena semak syarat sah


  • Mukmin
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Jemaah menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

MALAYSIA pada tahun ini menerima kuota haji berjumlah 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1444 Hijrah ini.

Bagi jemaah bertuah menerima panggilan haji, pastinya mereka teruja untuk melaksanakan rukun kelima dalam rukun Islam itu selepas sekian lama menanti.

Menjelang musim ibadah tersebut, terdapat pertanyaan tentang pembayaran dam atau denda ketika berada di luar Tanah Mekah sebelum menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Persoalan tersebut diutarakan dan diulas dalam laman web Maktabah Al-Bakri yang dikendalikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Bagi mereka yang melakukan haji tamattu’ dan qiran, diwajibkan untuk membayar dam hadyu dengan menyembelih seekor kambing. Hal ini sebagaimana firman ALLAH

فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

Maksudnya:Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih dam yang mudah didapati.

(Surah al-Baqarah: 196)

Dr Zulkifli dengan merujuk kepada Imam al-Nawawi memaklumkan, seseorang jemaah haji tamattu' wajib membayar dam dengan empat syarat iaitu dia tidak kembali ke miqat negerinya kerana ihram haji, berihram dengan umrah pada bulan-bulan haji, melakukan haji pada tahunnya dan tidak menghadiri Masjid al-Haram kerana bukan penduduk Tanah Haram dan penduduk Tanah Haram ini berada dalam jarak kurang daripada dua marhalah (81 kilometer).

Menurutnya, jika jemaah tersebut luput daripada syarat-syarat tersebut, maka dia tidak perlu membayar dam sekalipun dia dikira melakukan haji tamattu’.

"Oleh itu, pembayaran dam yang dilakukan di luar Tanah Haram seperti di Malaysia adalah dibolehkan, dengan syarat haiwan itu perlu disembelih dan dilaksanakan di dalam kawasan Tanah Haram dan bukannya di tempat lain," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji oleh Lembaga Tabung Haji juga memutuskan bahawa jemaah haji Malaysia diharuskan dan digalakkan untuk membayar dam pada kadar yang ditentukan sebelum sampai di Tanah Haram Mekah.

Katanya, ia bagi memudahkan pengurusan Tabung Haji untuk membeli binatang ternakan yang akan disembelih di sana walaupun wang pembayaran dam diserahkan di Malaysia.

"Kami nyatakan bahawa mendahulukan membayar dam hadyu bagi haji tamattu’ adalah dibolehkan dibayar di Malaysia melalui wakil tabung haji.

"Ia dengan syarat haiwan hadyu yang ingin dikorbankan itu disembelih di kawasan Tanah Haram Mekah sebagaimana hujah yang kemukakan," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram