Papua New Guinea ganti Yaman, 'ex' bintang import Penang senjata rahsia bertemu HM


  • Podium
  • Rabu, 31 Mei 2023

Kesebelasan utama Harimau Malaya ketika menentang Papua New Guinea pada 2016. — Facebook/FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan status perlawanan persahabatan menentang Yaman yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu pada 20 Jun 2023 terpaksa dibatalkan.

Ia selepas FAM menerima surat makluman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Yaman (YFA) pada Selasa yang menyatakan hasrat membatalkan perlawanan tersebut atas alasan ketiadaan pemain utamanya kerana menyertai skuad Bawah-23 (B-23) negara berkenaan ke West Asian Championship di Iraq.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman berkata, pembatalan saat akhir daripada pihak YFA ini sekali gus memaksa FAM perlu mencari segera pasukan pengganti sesuai.

"Dalam masa yang agak suntuk dengan pilihan terhad memandangkan kebanyakan pasukan lain sudah mempunyai lawan masing-masing pada kalendar FIFA kali ini.

"Selepas menghubungi beberapa pasukan, FAM akhirnya berjaya mendapat persetujuan daripada Papua New Guinea sebagai pasukan pengganti untuk bertemu skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya akan berdepan pasukan di ranking ke-134 dunia, Kepulauan Solomon bagi satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu, 14 Jun 2023.

Sebagai rekod, Yaman di kedudukan ranking ke-157 dunia manakala Papua New Guinea ke-159 dunia, berbanding Malaysia ke-138 dunia.

Malaysia vs PNG

Hazwan Bakri antara pemain yang pernah membolosi gawang gol Papua New Guinea pada 2016. Facebook/FAM

Namun perkhabaran itu tidak mendapat respons yang positif daripada segelintir penyokong Harimau Malaya.

"Last-last lawan sebelah negara jiran sahaja, cubalah lawan yang ranking atas kita baru sedap sikit nak tengok pasukan kita hebat tahap mana," kata Achix Kechix.

"Sementara itu negara jiran (Indonesia) akan bertemu Argentina," ujar Encik Ariff.

"Nampak sangat Malaysia ini dari tahap kepimpinan sampai ke akar umbi masih lagi tahap kampung, bukan menghina tapi itulah realitinya," luah Ridz Ridz.

Nigel Dabinyaba

Nigel Dabinyaba ketika mewakili Penang pada 2017. Facebook/FA Penang

Namun begitu jika dilihat situasi semasa, FAM sudah melakukan sehabis baik demi memberikan aksi yang kompetitif buat pasukan kebangsaan.

Dengan Yaman yang menarik diri di saat-saat akhir, Papua New Guinea dilihat merupakan lawan alternatif yang bagus buat anak-anak buah Kim Pan-gon.

Untuk rekod, Papua New Guinea antara tiga pasukan terkuat mengikut raking di benua Oceania di belakang New Zealand (ke-100 dunia) dan Kepulauan Solomon (ke-134 dunia).

Bekas import Penang FC, Nigel Dabinyaba juga antara salah seorang pemain skuad kebangsaan Papua New Guinea yang mana kali terakhir beraksi bersama Hekari United di negara itu.

Malaysia pernah bertemu Papua New Guinea pada 2016 ketika di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee yang mana keputusan berpihak kepada Harimau Malaya dengan kemenangan tipis 2-1 di Stadium Shah Alam, Selangor. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram