PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) sekali lagi kenduri gol di Stadium Sultan Ibrahim, Johor apabila menewaskan pasukan tercorot, Kelantan United FC (KUFC) 6-0 pada aksi Liga Super pada Sabtu.
Dalam perlawanan itu, Bergson da Silva berjaya menjaringkan hatrik mana Fernando Forestieri menghasilkan dua gol manakala Leandro Velazquez menyumbangkan satu jaringan menerusi sepakan penalti.
Kemenangan itu mengukuhkan Harimau Selatan di persada liga dengan mengumpul 30 mata daripada 10 perlawanan, lapan mata di hadapan pencabar terdekat iaitu Sri Pahang FC dan Selangor FC.
Dengan kekalahan ke atas JDT ini menyaksikan Kelantan United terperosok ke dasar liga dengan hanya mengutip dua mata dalam 10 perlawanan.
Namun apa yang lebih menarik ialah perkongsian wartawan Nadi Arena, Karl Nunis di Twitter mengenai ketua jurulatih baharu Kelantan United yang bakal menggantikan Tomas Trucha yang direhatkan oleh pihak pengurusan pasukan itu.
"Biarpun belum diumumkan secara rasmi namun, Ailton Dos Santos Silva ‘turun padang’ untuk menganalisa kelemahan Kelantan United di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.
"Pengurusan Kelantan United dijangka mengumumkan Ailton sebagai pengganti Tomáš Trucha dalam masa terdekat," ciapnya di Twitter.
Ailton berjaya membawa Chiangrai United menjuarai Liga Thailand pada 2019. — Facebook/Chiangrai United
Ailton Dos Santos Silva bukanlah individu yang asing bagi negara jiran, Thailand apabila dia pernah melatih dua pasukan dalam Liga Thailand iaitu Chiangrai United dan Chiangmai United.
Rekod bersama Chiangrai United pada 2019 boleh dikatakan baik apabila dia membawa pasukan itu memenangi 22 kemenangan, sembilan seri dan tujuh kekalahan.
Malah dia juga berjaya membawa pasukan itu menjadi juara Thai League 1 pada musim 2019.
Manakala bersama Chiangmai United pula ia tampak berbeza apabila dia merekodkan sembilan kekalahan, satu seri dan satu kemenangan.
Pengendali berusia 56 tahun ini hanya bertahan selama lima bulan bersama Chiangmai United yang mana dia ditamatkan kontrak pada 4 Februari 2022.
Kelantan United bakal menjadi pasukan ketiga jurulatih kelahiran Brazil di benua Asia Tenggara dan ini merupakan pengalaman pertamanya di dalam Liga Malaysia.
Menarik untuk kita semua saksikan bagaimana bekas pengendali Chiangmai United ini untuk membawa Kelantan United keluar daripada kelompok terbawah Liga Super menjelang pusingan kedua perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram