[VIDEO] Panik sampai lupa bawa ubat, saksi cerita detik cemas semasa letupan monumen bersejarah di Perancis


  • Benua
  • Khamis, 22 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan sebuah bangunan bersejarah meletup dan terbakar di Latin Quarter pada petang Rabu.

"KETIKA itu saya sedang menulis, saya ingatkan bunyi bom."

Demikian kata salah seorang saksi ketika kejadian letupan bangunan di Latin Quarter, Perancis pada petang Rabu.

Monique Mosser yang juga seorang ahli sejarah seni berkata, ketika insiden tersebut berlaku, banyak tingkap bangunannya turut pecah akibat gelombang daripada letupan berkenaan.

"Ada jiran mengetuk pintu rumah dan memaklumkan bahawa pihak bomba mengarahkan semua penghuni untuk menyelamat diri secepat mungkin.

"Jadi saya mengambil komputer riba dan telefon, tapi terlupa untuk bawa sekali ubat-ubatan," katanya.

Mangsa lain, Rahman Oliur berkata, kedai makanan yang diurusnya turut merasai gegaran akibat letupan berkenaan kerana berada agak hampir dengan lokasi kejadian.

"Kedai saya bergegar dengan teruk seperti ada letupan bom," katanya.

Seorang pekerja bar, Khal Ilsey turut memaklumkan terdengar bunyi letupan, lalu bertindak keluar daripada restoran dan terlihat api yang sedang marak di penghujung jalan.

Insiden letupan yang berlaku kira- kira pukul 4.50 petang Rabu itu membabitkan sekurang-kurangnya 37 orang tercedera, manakala dua lagi masih hilang akibat terperangkap dalam runtuhan selepas bangunan berkenaan meletup.

Difahamkan lebih 300 anggota bomba terlibat dalam kerja-kerja pemadaman kebakaran tersebut.

Beberapa orang penghuni bangunan berhampiran sempat diselamatkan, namun dua jam selepas letupan berkenaan, penghuni masih berada dalam keadaan terkejut manakala seorang wanita pengsan di atas jalan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin berkata, anjing pengesan digunakan untuk mencari bau dalam runtuhan bangunan berkenaan.

"Kita boleh menemui mayat atau mungkin mangsa yang terselamat dalam kejadian berkenaan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram