KEMENANGAN pasukan Johor Darul Takzim (JDT) membenamkan Penang FC 5 - 0 dalam aksi Piala FA pada 28 Mei lalu melayakkan skuad Harimau Selatan mara ke pusingan separuh akhir kejohanan ternama itu.
Skuad gergasi itu terus mencetak kemenangan demi kemenangan secara konsisten dengan menyumbang jumlah gol yang banyak dalam setiap perlawanan.
Lantas menjadikan pasukan yang dimiliki Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) itu terus digeruni oleh pihak lawan tidak kira di mana mereka bermain.
Tampak tenang tapi tetap bersedia, JDT tidak ambil mudah melakukan persiapan menjelang aksi separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC pada Isnin depan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Kali terakhir kedua-dua pasukan berentap adalah pada Mac lalu dalam Liga Super musim ini yang menyaksikan The Red Giants dibaham teruk oleh Harimau Selatan 0 - 4 di laman sendiri.
Sekiranya juara bertahan kejohanan domestik itu ingin meneruskan strategi memalukan pasukan Merah Kuning, mungkin pengendali JDT, Esteban Solari boleh pertimbangkan untuk menurunkan beberapa nama yang semakin dilupakan bagi menyertai kesebelasan utama pasukan itu menjelang aksi Piala FA nanti.
Safawi sebelum ini dipinjamkan ke kelab Thailand, Ratchaburi FC untuk bermain dengan pasukan tersebut tidak sampai semusim. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Safawi Rasid
Baru pulang selepas dipinjamkan ke kelab bola sepak Thailand selama separuh musim, pemain kelahiran Dungun, Terengganu ini mulai kelihatan dalam sesi latihan JDT pada Mei lalu.
Masih belum dalam mana-mana perlawanan bola sepak tanah air setakat ini, mungkin Solari boleh mempertimbangkan khidmat pemain penyerang ini untuk kembali beraksi di padang supaya dapat Safawi dapat memanfaatkan pengalamannya bermain dengan kelab luar negara bagi menewaskan Selangor FC.
Tambahan lagi, Safawi sudah mula menunjukkan belang selepas meledak dua gol dalam aksi persahabatan Harimau Malaya menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.
Syafiq berjaya meledak gol sulung selepas tampil sebagai pemain gantian dalam saingan Piala FA menentang Penang FC musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Syafiq Ahmad
Walaupun hanya bermain sekali dalam Piala FA musim ini, pemain berusia 27 itu berjaya menjaringkan satu gol buat pasukannya dalam 10 minit permainan.
Namun, peledak berbisa itu hanya muncul sebanyak tiga kali sepanjang 14 perlawanan dalam aksi Liga Super musim ini, mungkin kerana lambakan jentera penyerang di skuad Harimau Selatan.
Meskipun demikian, Syafiq memiliki kualiti untuk menghasilkan jaringan dan untuk itu, khidmatnya boleh digunakan kali ini memandangkan kecergasannya pasti di tahap terbaik ekoran tidak mengikuti perlawanan persahabatan skuad kebangsaan yang tentunya menyaksikan pemain keletihan.
Shane menyertai JDT sejak musim 2021 dengan misi untuk bermain dalam saingan ACL sebagai pemain pertahanan utama kelab itu. — Facebook/Johor Southern Tigers
Shane Lowry
Menyertai JDT sebagai pemain pertahanan utama skuad berkenaan, Shane sering dilihat sebagai komponen utama untuk bermain dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) khususnya.
Bukan apa, pengendali skuad berkenaan lebih gemar menurunkan pemain lain seperti Feroz Baharudin dan Jordi Amat bagi menguatkan tembok pertahanan Harimau Selatan itu.
Dalam perlawanan menentang Selangor FC kelak, mungkin JDT boleh memanfaatkan khidmat Shane yang mempunyai pengalaman agak lama dalam Liga ACL untuk menumpulkan serangan The Red Giants. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram