SEORANG penunggang motosikal berdepan detik cemas selepas hampir dihempuk seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental di Pulau Pinang pada Sabtu.
Kejadian tersebut berlaku di salah sebuah kawasan kampung di Pulau Pinang namun tidak didedahkan lokasi sebenar.
Melalui video tular yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok Zulhisham Abdullah, insiden itu berlaku di hadapan rumahnya.
"Nasib hang (awak) lari, kalau tidak boleh berkecai kepala," tulisnya.
Melalui ruangan komen, Zulhisham memaklumkan kejadian itu berlaku di hadapan rumah dan insiden itu berjaya dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di depan.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku pada pukul 9.32 pagi Sabtu berdasarkan maklumat data yang tertera di CCTV tersebut.
Menerusi video berdurasi dua minit 32 saat itu memaparkan seorang penunggang motosikal melalui kawasan tersebut sebelum dikejutkan dengan kemunculan seorang lelaki yang didakwa mengalami masalah mental mengangkat sebuah batu besar dan menjerit ke arahnya.
Lelaki kurang siuman yang hanya mengenakan baju T dan berkain pelekat itu juga dilihat hampir menghempuk penunggang motosikal berkenaan dan menjerit ke arahnya.
"Aku hempuk dahi hang. Apa dia?," jeritnya.
Tidak panik dengan keadaan itu, penunggang tersebut turun daripada motosikal dan dilihat cuba melawan dengan hanya menggunakan botol plastik yang diletakkan dalam bakul motosikalnya.
Tindakannya itu menyebabkan lelaki berkenaan melarikan diri daripada kawasan tersebut.
Melihat lelaki kurang siuman tersebut melarikan diri, penunggang motosikal itu turut beredar dari lokasi kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram