JENAZAH peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 7.30 pagi Sabtu.
Terdahulu, jenazah mangsa diterbangkan menerusi pesawat MH115 yang berlepas dari Kathmandu, Nepal pada Jumaat pukul 11.30 malam (waktu Kathmandu).
Jenazah akan dibawa balik ke Kota Kinabalu, Sabah dengan penerbangan MH2646 pukul 11.35 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Sabah pada 2.15 petang Sabtu.
Pada sesi penghormatan terakhir yang diadakan di Kompleks Kargo KLIA, Kuala Lumpur pada Sabtu yang disertai lebih 70 anggota APM, turut diadakan bacaan Yasin dan tahlil dipimpin Leftenan Bersekutu Pertahanan Awam Miszlee Samais.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff turut berkenan berangkat menziarahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali semalam dilaporkan berkata atas permintaan ahli keluarga, jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar, Sabah dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Benoni, Papar dengan mengikut istiadat penghormatan APM.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Awang Askandar meninggal dunia sehari selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke Gunung Everest dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak, pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut.
Allahyarham ketika itu bersama seorang lagi pendaki negara Muhammad Hawari Hashim, 33, yang merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang setelah berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu dan usaha mencarinya masih dijalankan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram