JABATAN Bomba California menjalankan siasatan terhadap anggota yang terlibat dalam kejadian salah laku apabila menggunakan trak bomba untuk urusan peribadi.
Menerusi rakaman video yang tular, seorang wanita dalam keadaan separuh bogel iaitu hanya mengenakan pakaian dalam dipercayai merupakan penari bogel di sebuah kelab hiburan, Pink Poodle, San Jose, California keluar daripada trak bomba.
Kenderaan tersebut berhenti di hadapan trak sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan) dan menurunkan wanita terbabit sebelum dia dilihat masuk ke dalam premis.
Perkara itu kemudian mencetuskan kebimbangan dan kepercayaan masyarakat terhadap anggota bomba yang berkemungkinan terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.
Ketua Jabatan Bomba San Jose, Robert Sapien Jr. berkata, penari bogel terbabit berlari ke arah trak dan minta untuk ditumpangkan.
“Anggota bomba pada mulanya mengirakan perkara itu sebagai satu kecemasan. Namun, akhirnya anggota menghalau dia keluar dan menurunkan dia di kawasan berhampiran,” katanya.
Memetik laporan media tempatan, KRON4, Sapien Jr. mendakwa pihaknya ditugaskan untuk menghantar seorang lelaki.
KRON4 turut mengesahkan Balai Bomba San Jose 4 tidak menerima sebarang panggilan kecemasan di kawasan berhampiran kelab terbabit.
Berdasarkan laporan, trak terbabit meninggalkan stesen pada pukul 9 malam dan tiba di Pink Poodle sekitar 9.14 malam. Kenderaan terbabit kemudian pulang semula ke stesen pada 9.20 malam.
“Menggunakan kenderaan awam untuk mengangkut penumpang sesuka hati tidak dibenarkan. Perkara itu termasuk melanggar kod etika dan Dasar Penggunaan Bandar Raya dan Kenderaan Peribadi termasuk program Berkendera Bersama Jabatan Bomba.
“Membawa jentera bomba di luar kawasan yang ditugaskan tanpa dihantar ke panggilan untuk perkhidmatan juga melanggar dasar bandar dan jabatan, termasuk polisi dan prosedur jabatan bomba,” kata Sapien Jr..
Balai Bomba San Jose 4.
Meskipun Sapien Jr. menafikan wujud perbuatan salah laku anggota, masyarakat dan penduduk setempat tetap memandang serius kepada perkara tersebut termasuk Datuk Bandar San Jose, Sam Liccardo.
Liccardo mengharapkan agar jabatan bomba tetap melakukan siasatan dan memandang serius kepada perkara tersebut bagi mengelakkan daripada berulang semula.
“Ini satu pemandangan yang sangat buruk,” ujarnya.
Untuk rekod, insiden yang berlaku sekitar Oktober 2022 masih belum diketahui status anggota yang terlibat dan kebenaran dakwaan wanita terbabit kononnya sengaja ‘mengoda’ pegawai bertugas.
Bagaimanapun Sapien Jr. mengatakan anggota terlibat sudah dikenakan tindakan disiplin pada Mac lalu. Keputusan siasatan atau maklumat peribadi anggota dirahsiakan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram