SETIAP negara ada keunikan masing-masing semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri dan sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam untuk menziarahi pusara orang yang tersayang di pagi raya.
Bagi penduduk di Mamuju, Sulawesi Barat, Indonesia, mereka mempunyai satu tradisi unik setiap kali menjelang perayaan tersebut.
Menjelang Aidilfitri, penduduknya yang beragama Islam akan menyalakan lilin di atas pusara keluarga mereka yang sudah meninggal dunia.
Tradisi menyalakan lilin di atas kubur ini bukan sahaja dilakukan menjelang hari Raya tetapi juga pada bulan Ramadan oleh penduduk di Lingkungan Bulutakkang, Kelurahan Rangas, Mamuju.
Ketua Daerah Lingkungan Bulutakkang, Sudirman berkata, tradisi tersebut sudah lama diamalkan oleh penduduk di daerah tersebut pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
"Penduduk akan menyalakan lilin di atas pusara orang kesayangan mereka. Banyak, sehingga ratusan lilin dinyalakan.
"Ia dilakukan sejak turun temurun. Dahulu, penduduk di sini akan menggunakan pelita dan kini digantikan dengan lilin," katanya.
Namun begitu, Sudirman mengakui tidak mengetahui motif sebenarnya lilin itu dinyalakan.
"Saya juga kurang pasti, mungkin boleh rujuk kepada ustaz yang lebih arif tentang hal tersebut," jelasnya.
Aksi penduduk yang menyalakan lilin di atas kubur itu menjadi tular di media sosial sejak Rabu.
Ratusan lilin yang dinyalakan dipercayai menjadi 'lampu' bagi penduduk yang menziarahi kubur. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram