[VIDEO] Wanita warga emas Singapura tersembam atas jalan akibat diragut di Gombak


  • 112
  • Rabu, 19 Apr 2023

Tangkap layar memaparkan seorang warga emas diragut seorang penunggang motosikal di Taman Sri Batu Cave pada Selasa.

SEORANG warga emas bersama suaminya berdepan detik cemas ketika diragut oleh seorang lelaki di kawasan deretan kedai pada Selasa.

Difahamkan kejadian itu berlaku di Jalan SBC 1, Taman Sri Batu Cave, Gombak, Selangor.

Insiden berkenaan berjaya dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) milik salah sebuah kedai di lokasi kejadian dan dimuat naik semula di TikTok @amrankarak pada hari yang sama.

"Kejadian ragut warga emas di Jalan SBC 1, Taman Sri Batu Cave. Hati-hati semua," tulisnya

Melalui rakaman video tersebut menunjukkan pasangan warga emas terbabit berjalan di bahu kiri jalan sebelum dihampiri seorang penunggang basikal dari arah belakang.

Suspek yang menaiki motosikal warna biru dan memakai topi keledar muka penuh dilihat menghampiri mangsa dan meragut barang berharga milik warga emas wanita tersebut sehingga menyebabkan dia jatuh tersembam ke atas jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed mengesahkan kejadian tersebut.

"Pihak Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak terkesan satu hantaran video tular di media sosial memaparkan satu kejadian ragut melibatkan mangsa seorang perempuan.

"Mangsa diragut rantai lehernya oleh suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal di Taman Sri Batu Caves, Batu Caves.

"Mangsa yang juga seorang warganegara Singapura sudah membuat laporan berhubung kes tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Zainal lagi, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 10.45 pagi Selasa ketika mangsa, 64 tahun bersama suaminya berjalan di kawasan tersebut.

"Mangsa tiba-tiba didatangi suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC berwarna biru meragut rantai emas milik mangsa tetapi tidak berjaya kerana rantai tersebut putus dan jatuh ke atas jalan raya.

"Suspek kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian. Mangsa mengalami kecederaan ringan di lutut dan tangan kanan.

"Usaha untuk mengesan suspek masih diteruskan," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau IPD Gombak di talian 03-61262222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan