TULAR satu video memaparkan seorang pelajar bergaduh dengan gurunya di sebuah sekolah menengah baru-baru ini.
Difahamkan, pergaduhan itu berlaku di Rocky Mount High School, Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin lalu.
Video tular dimuat naik dalam sosial media itu turut mencetuskan kontroversi dan perbalahan dalam kalangan warga maya sendiri yang mempersoalkan tindakan guru tersebut mengasari pelajarnya.
Difahamkan kejadian itu melibatkan seorang guru ganti di sekolah tersebut yang dikenali sebagai Steele dan seorang pelajar.
Dalam video yang sudah ditonton sebanyak 3.5 juta kali itu memaparkan guru terbabit memarahi pelajar berkenaan membawa telefon bimbit ke sekolah.
Turut kedengaran pelajar tersebut menjerit ke arah Xaviera Steele.
“Mengapa peraturan tidak terpakai kepada orang lain? Itu telefon saya,”katanya.
Pelajar itu kemudian dilihat cuba merampas telefon dari tangan guru tersebut dan keadaan menjadi semakin tegang apabila kedua-duanya dilihat saling tumbuk menumbuk antara satu sama lain.
Sementara itu, memetik laporan media antarabangsa witn.com, pelajar dan guru berkenaan sudah ditahan pihak polis.
Menurut pihak berkuasa tempatan, guru dan pelajar terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan pertengkaran itu berlaku pada Isnin lalu.
Steele didakwa atas pertuduhan melakukan kekasaran manakala pelajar tersebut akan dihadapkan di Mahkamah Juvana.
Guru berkenaan dibebaskan dengan syarat untuk hadir ke mahkamah jika diperlukan.
Dalam perkembangan lain, pihak sekolah Rocky Mount High School memaklumkan bahawa Steele merupakan seorang guru ganti yang disediakan oleh Kelly Services yang menyediakan pengganti untuk Sekolah Awam Daerah Nash
"Kelayakan Steele untuk meneruskan pekerjaan akan ditentukan oleh hasil siasatan yang belum selesai," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram