Penceroboh sudah dicekup, kontroversi Menara Merdeka 118 rupanya berlaku Mei tahun lepas — PNBMV


  • Primer
  • Selasa, 10 Jan 2023

PNBMV menegaskan bahawa insiden pencerobohan Menara Merdeka 118 oleh sekumpulan lelaki terbabit berlaku pada Mei 2022.

VIDEO memaparkan sekumpulan lelaki yang menceroboh Menara Merdeka 118 seperti yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini, ialah kejadian yang berlaku pada 1 Mei tahun lepas.

PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PNBMV) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan penceroboh berkenaan telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari sama dan didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Kami ingin menekankan bahawa aksi itu menyalahi undang-undang dan berbahaya, sekali gus merisikokan keselamatan penceroboh dan pekerja di tapak pembangunan.

"Oleh yang demikian, kami menyelar segala perbuatan haram yang dilakukan di tapak pembangunan ini untuk meraih keuntungan komersial dan populariti secara haram,” menurut kenyataan itu.

Tapak Menara Merdeka 118 masih aktif dengan kerja-kerja pembinaan dan keselamatan adalah keutamaan PNBMV yang akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatannya.

"Menceroboh ialah kesalahan jenayah yang boleh dihukum oleh undang-undang dan sesiapa yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Video berdurasi tujuh minit 19 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki di bahagian atas bangunan pencakar langit itu tular dalam media sosial dengan beberapa muka mereka ditapis.

Pada Selasa, pasangan Rusia, Angela Nikolau dan Ivan Beerkus yang sebelum ini didakwa berjaya menceroboh menara itu menegaskan bahawa mereka tidak lagi berada di Malaysia.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

TAG:

Merdeka 118, penceroboh, keselamatan, PMVSB