GEMPA bumi besar berukuran 7.8 magnitud melanda tenggara Turkiye pada pagi Isnin, kini meragut ribuan nyawa warga penduduk tempatan dan penduduk Syria.
Tinjauan Geologi AS mengesahkan, magnitud gempa yang berlaku sebelum subuh itu merupakan gelombang kedua yang tercetus selepas gempa yang pertama.
Terbaharu, jumlah angka terkorban dilaporkan sudah meningkat melebihi 3,800 orang dengan usaha untuk menyelamat masih lagi diteruskan oleh agensi penyelamat di Turkiye.
Di Turkiye, 2,379 orang terbunuh dan 14,483 cedera manakala 1,293 orang dilaporkan terkorban di Syria.
Beberapa buah negara sudah mula menghulurkan bantuan antaranya Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Greece, Israel, Pihak Berkuasa Palestin, Rusia dan Ukraine.
Beberapa kawasan perumahan yang musnah akibat gelombang kedua yang berlaku pada Isnin. — Agensi
Dalam pada itu, beberapa penduduk difahamkan sedang tidur semasa kejadian tersebut berlaku dengan bantuan daripada pihak kerajaan juga dikatakan lewat untuk memberikan bantuan.
Salah seorang mangsa, Mustafa Kara Ali berkata, dia sedang tidur nyenyak bersama isterinya di rumah mereka semasa insiden gempa bumi itu melanda di Turkiye pada awal pagi Isnin.
"Cuaca bersalji menjadikan situasi lebih sukar kerana angin bertiup sangat kuat dan hujan lebat.
"Ribuan penduduk hanya berkumpul di ruang taman perumahan sepanjang hari tanpa selimut, air atau tempat perlindungan.
"Kami menunggu sepanjang hari dan tiada bantuan daripada kerajaan," katanya.
Kira-kira 600 orang penduduk, termasuk 120 orang kanak-kanak masih menanti bantuan makanan sementara menunggu khabar berita tentang situasi kawasan perumahan masing-masing.
Penduduk mula menghidupkan unggun api akibat cuaca terlampau sejuk. — Agensi
Di bandar Kahramanmaras, Turkiye, orang ramai mula menghidupkan unggun api untuk memanaskan badan susulan cuaca terlampau sejuk.
Ribuan penduduk telah meninggalkan rumah mereka yang musnah akibat gelombang gempa bumi kedua tersebut.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan tujuh hari berkabung berikutan gempa bumi maut yang melanda negara itu.
Bendera Turkiye akan dikibarkan separuh di seluruh negara susulan bencana berkenaan yang disifatkan sebagai kejadian yang berlaku sekali dalam seratus tahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram