Seluruh rumah diancam kulat, ibu bimbang nyawa anak 3 tahun melayang


  • Benua
  • Isnin, 13 Mac 2023

Keadaan rumah wanita itu yang ditumbuhi kulat. — Agensi

SEORANG wanita bimbang nyawa anak perempuannya terancam, selepas mendakwa pihak berwajib tidak melakukan sebarang tindakan susulan kewujudan kulat di seluruh kediamannya di Hackney, London.

Terri Harrigan, 31, berkata, anaknya, Ariella yang berusia tiga tahun boleh meninggal dunia secara tiba-tiba, akibat kulat yang menutupi tilamnya.

Wanita itu mendakwa, doktor sudah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan di Hackney mengenai kulat yang menyebabkan masalah pernafasan kanak-kanak tersebut.

Screenshot 2023-03-13 210257

Harrigan (berkaca mata) berkata, anaknya mengalami sesak nafas sejak tahun lalu. — Agensi

Namun, pihak berkuasa itu sebaliknya hanya mengecat dinding kediaman berkenaan.

Harrigan menemui kulat itu kali pertama selepas mengoyakkan kertas dinding, ketika dia berpindah ke rumah tersebut pada Disember 2019.

Sejak itu, jelasnya, ia merebak ke tilam anak perempuannya, dinding di ruang tamu, dapur, bilik tidur, tandas, tingkap, siling serta pakaian.

"Tilam Ariella ditutupi dengan kulat, saya risau ia akan mengancam nyawanya.

"Dia sakit sekurang-kurangnya setiap dua hingga tiga minggu. Dia benar-benar mengalami masalah pernafasan.

"Apa yang saya mahukan adalah dia sihat dan gembira. Kebimbangan utama saya jika anak saya mati mengejut," katanya.

Screenshot 2023-03-13 210319

Kulat yang terdapat pada tilam Ariella. — Agensi

Wanita itu berkata, dia sudah pun membasuh kulat tersebut dua hingga tiga kali seminggu, namun ia tetap tumbuh semula.

Katanya, dia bukan sahaja tidak mempunyai wang yang cukup untuk berpindah rumah, apatah lagi mendapatkan katil baharu.

Screenshot 2023-03-13 210413

Antara kulat yang tumbuh di salah satu sudut kediaman wanita tersebut. — Agensi

Kesihatan anak perempuannya mula merosot pada September 2022 apabila mengalami kesukaran bernafas dan menyebabkan dia terpaksa memanggil ambulans.

"Nafasnya menjadi sangat cepat. Dia baru berusia dua tahun ketika itu dan saya bimbang akan kehilangannya.

"Doktor menghantar surat kepada Datuk Bandar Hackney tetapi jawapannya menghampakan. Tujuh bulan kemudian kami masih menunggu," kata wanita itu.

Screenshot 2023-03-13 210355

Kulat yang menyebabkan nyawa penghuni rumah dikhuathiri dalam bahaya. — Agensi

Sementara itu, jurucakap Majlis Hackney memohon maaf atas kelewatan mengatasi masalah tersebut.

"Kami sudah menjalankan kerja pembaikan namun lembapan berulang pada 2019, 2020 dan sekali lagi pada Januari 2022.

"Isu terbaharu pada November 2022 sudah ditinjau, namun kerja pembaikan ditangguhkan akibat masalah rantaian bekalan dan komunikasi di pihak kami.

"Kami sudah menghubungi penghuni rumah itu untuk memulakan kerja pembaikan bagi menyelesaikan semua isu mengikut keselesaannya.

"Selain itu, kami akan melihat langkah lebih baik untuk mencegah perkara sama berulang pada masa depan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram