VIDEO aktor, Will Smith menampar pelawak, Chris Rock semasa di atas pentas acara berprestij Academy Awards, kini tular di media sosial.
Ini terjadi kerana jenaka Chris tentang gaya isteri Will, Jada Pinkett yang tampil dengan gaya botak pada majlis tersebut berikutan masalah Alopecia yang mengakibatkan rambutnya gugur.
Doktor rehabilitasi, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, Alopecia adalah keadaan yang mana seseorang itu mempuyai masalah kehilangan rambut atau bulu yang berpunca daripada beberapa perkara.
Menerusi status di Facebook, beliau berkata, antara puncanya adalah stress keturunan, hormon, jangkitan kulat atau bakteria, masalah imun atau ekzema serta kekurangan zat.
Menurutnya, terdapat beberapa kaedah rawatan untuk mengatasi masalah Alopecia.
Antaranya kaedah yang disenaraikan itu termasuklah:
◾Pengurusan stres dengan menyusun masa, cukupkan rehat, pengawalan emosi dan gaya hidup.
◾Hentikan pengambilan steroid anabolik (jika ada menggunakannya)
◾Pengambilan diet yang lebih seimbang dan teratur. Kurangkan makanan ringan.
◾Jika puncanya jangkitan kulat di kulit kepala, ubatnya antifungal. Jika bakteria, antibiotik.
◾Jika berpunca dari masalah autoimun, maka perlukan ubat mengawal respons imuniti.
Kamarul berkata, seandainya anda sudah mencuba kaedah berkenaan namun tidak mengalami sebarang perubahan, maka anda perlu berbincang dengan doktor tentang rawatan lain.
"Ini termasuklah penggunaan serum Minoxidil 5 peratus, pil Fenesteride dan lain-lain.
"Fenesteride biasa diberi pada pesakit lelaki sahaja. Ubat-ubat ini perlu pengambilan berterusan untuk menampakkan hasil.
"Andai kata rawatan dengan ubat masih tak mampu dapatkan hasil yang diharapkan, maka pilihan terakhir ialah kaedah penanaman rambut.
"Dalam hal ini, doktor ambil rambut dekat kawasan yang tak botak, dan pindahkan (tanam) di kawasan yang botak. Maknanya guna rambut sendiri sahaja," katanya.
Kesimpulannya, kata Kamarul, masalah Alopecia yang mempunyai pelbagai punca dan bukan sekadar menjejaskan penampilan fizikal.
"Ia boleh mengganggu emosi dan keyakinan disi seseorang yang mengalaminya. Maka, ia topik yang agak sensitif untuk dijadikan bahan lawak di majlis siaran langsung," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram