'Jangan lupa tutup pintu waktu Maghrib, risau nanti Ummu Sibyan masuk'


  • Mukmin
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Sebaiknya jangan dibiarkan pintu atau tingkap rumah terbuka pada waktu senja atau maghrib kerana dikhuatiri akan menarik perhatian jin Ummu Sibyan. — Gambar hiasan

NASIHAT orang tua-tua selalu mengatakan, jangan keluar bermain pada waktu senja lebih-lebih lagi ketika Maghrib.

Antara kata-kata yang sering didengar:"Jangan main dekat luar waktu Maghrib, nanti kena sorok dengan hantu."

Sebilangan masyarakat masih mempraktikkan 'peringatan' itu dengan harapan agar kanak-kanak tidak berani keluar pada waktu tersebut.

Bagaimanapun, di sebalik cubaan untuk menakut-nakutkan itu ada kebenarannya.

Memetik hadis Bukhari 3280, Muslim 2012, Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya:"Jika malam datang menjelang, atau kalian berada menjelang Maghrib maka tahanlah anak-anak kalian (di rumah), kerana ketika itu syaitan sedang bertebaran.

"Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka biarkan mereka (jika ingin keluar). Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada ALLAH, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula bekas minuman dan makanan kalian walau sekadar dengan meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu kalian.”

Pendakwah popular, Ustaz Azhar Idrus mengatakan pintu dan tingkap perlu ditutup dengan rapat sebelum menjelang Maghrib.

majoriti2023 (29)

Golongan bayi sering menjadi sasaran jin Ummu Sibyan. — Gambar hiasan

Perkara itu bagi mengelakkan daripada rumah kemasukan tetamu tidak diundang masuk ke dalam rumah.

"Sekitar 10 minit sebelum masuk waktu Maghrib perlu tutup pintu dan tingkap dengan kemas dan kalau boleh jangan dibiarkan renggang.

"Bimbang nanti 'dia' masuk dalam rumah. Siapa dia itu? Dia itu ialah jin bernama Ummu Sibyan. Jin ini akan masuk ke dalam rumah dan berjalan merangkak di dinding seperti cicak.

"Selalunya anak-anak kecil akan menjadi sasaran. Bayi akan menangis tanpa henti," terangnya dalam satu ceramah video beberapa tahun lalu yang kembali tular baru-baru ini.

Kata Azhar, Ummu Sibyan digambarkan memiliki rupa yang menakutkan dengan mata yang besar dan kepala kecil selain memiliki sifat merangkak di dinding.

Kemudian, tingkap atau pintu boleh dibuka semula selepas keadaan benar-benar gelap.

"Dikatakan mata Ummu Sibyan ini besar saiz baldi, tetapi kepala kecil dan menyeramkan. Tentu jika kanak-kanak jika akan berasa terkejut dan takut.

majoriti2023 (30)

JIn Ummu Sibyan dikatakan memiliki sifat mata besar, kepala kecil dan merangkak di dinding. — Gambar hiasan

"Jika kanak-kanak menangis, cuba bacakan ayat kursi bersama surah tiga qul dan tiub di ubun-ubun kepala dalam keadaan dia sedang meniarap. Terus membaca sehinggalah bayi berhenti menangis," terangnya.

Tambah Azhar, cara untuk mengenal pasti jika bayi berkenaan melihat ke arah jin Ummu Sibyan atau tidak ialah dengan mengalihkan sedikit kepalanya untuk melihat sama ada arah pandangannya turut berubah atau tidak.

"Cuba gerakkan kepada bayi sedikit daripada terarah kepada satu sudut sahaja. Sekiranya kepada sudah dialihkan, tetapi dia masih melihat ke arah tempat seperti dinding kemungkinan itu ada," terang pendakwah terbabit.

Arahkan keluar

Sekiranya perkara tersebut berlaku, pendakwah yang berasal dari Terengganu itu menasihatkan agar membaca ayat kursi dan minta jin tersebut keluar.

"Jika menyedari ada kehadiran Ummu Sibyan di rumah, cuba bacakan ayat kursi, dan cakaplah agar mengarahkan dia keluar daripada rumah.

"Bahasa Melayu pun dia akan faham, apa jua bahasa dia akan faham. Guna bahasa Inggeris, Ummu Sibyan get out from my house pun dia akan faham.

"Tidak perlu marah-marah, cakap bersahaja juga boleh," ujarnya.

Semoga kita akan dilindungi oleh ALLAH dan dijauhkan daripada perkara sebegini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram